
Bruce Gilley, profesor sains politik di Portland State University, berkata beliau memadamkan hantaran mengandungi petikan daripada ceramahnya itu demi keselamatan dan kesejahteraan rakan-rakan di UM.
“Petikan daripada ceramah saya mencerminkan pandangan saya sendiri. Saya menyesal dengan kemudaratan berpunca daripada saya kepada rakan-rakan akademik lain,” katanya dalam satu hantaran di X.
Dalam ceramah bertajuk “Will Malaysia Become an Active Middle Power” di UM petang Selasa, beliau juga memperkecilkan hubungan Malaysia dengan AS.
“‘Sebuah negara yang pemimpin politiknya menyokong Holocaust kedua terhadap orang Yahudi tidak akan menjadi pemain yang serius dalam hal ehwal dunia, dan sudah tentu tidak akan menjadi rakan atau rakan kongsi AS’, daripada ucaptama saya semalam di KL mengenai dasar luar Malaysia,” tulis Gilley di X.
“Ini mengingatkan kembali kepada nasihat Mahathir (bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad) supaya belajar daripada Jerman bagaimana cara menghapuskan bangsa Yahudi.
“Paling jelas, pada Oktober, menteri pertanian (dan keterjaminan makanan) Mohamad Sabu menjanjikan satu demonstrasi bahawa ‘Israel akan dihapuskan tidak lama lagi’,” katanya.
Susulan kenyataan Gilley, Menteri Pengajian Tinggi Zambry Abd Kadir mengarahkan semua program dan aktiviti membabitkan ahli akademik itu dibatalkan serta merta.
“Saya meminta UM menyiasat perkara itu dan melaporkan segera butiran lanjut,” kata Zambry dalam satu kenyataan semalam.
Gilley dijadual memberi tiga ceramah di UM.
Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel dan berulang kali mengutuk negara itu atas pelbagai serangannya ke atas Palestin, termasuk perang semasa di Gaza yang menyaksikan lebih 34,000 rakyat Palestin terbunuh dan 77,000 cedera sejak 7 Okt tahun lalu.