Tony Fernandes sambung 5 tahun lagi sebagai CEO Capital A

Tony Fernandes sambung 5 tahun lagi sebagai CEO Capital A

Fernandes telah memperlihatkan kebolehan yang tiada tandingan untuk mentransformasi Capital A, kata Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Fam Lee Ee.

Selain melanjutkan perkhidmatan sebagai CEO Capital A, Tony Fernandes juga dilantik selaku penasihat dan pengelola CEO AirAsia Aviation Group. (Gambar fail)
KUALA LUMPUR:
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Capital A Bhd Tony Fernandes telah menandatangani kontrak perkhidmatan baharu untuk tempoh lima tahun akan datang, meneruskan peranannya untuk menumpukan kepada memacu pertumbuhan masa depan dan pulangan kewangan kumpulan.

Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Capital A Fam Lee Ee berkata, lembaga pengarah telah meluluskan pakej insentif, yang dirancang untuk menyelaraskan kepentingan CEO dengan pemegang saham, dan memastikan komitmen bersama untuk memacu kejayaan jangka panjang dan kemampanan kumpulan.

“Peranan beliau merangkumi mengemudi Capital A ke arah memanfaatkan potensi nilai pemegang saham yang dipertingkat melalui pelaksanaan urus niaga yang menguntungkan di segenap entiti kumpulan dalam Capital A,” katanya pada taklimat media hari ini.

Menurutnya, pakej insentif dan perinciannya akan dibentangkan kepada pemegang saham untuk kelulusan mereka pada mesyuarat agung luar biasa yang akan datang.

“Fernandes telah memperlihatkan kebolehan yang tiada tandingan untuk mentransformasi Capital A dalam memacu pertumbuhan dan memberikan pulangan kewangan, meraih reputasi sebagai antara CEO dunia yang cemerlang,” katanya.

Fam berkata, Fernandes telah menetapkan Capital A pada laluan strategik yang baik untuk penciptaan nilai yang berterusan, dan lembaga pengarah memutuskannya demi kepentingan pemegang saham untuk melanjutkan tempoh perkhidmatannya.

“Kami yakin, bawah bimbingan beliau, kami akan mencapai kejayaan penting yang lebih besar pada tahun-tahun akan datang,” katanya.

Sementara itu, Fernandes berkata, beliau menjangka Teleport, MOVE Digital, Capital A Aviation Services Group (CAPAS) dan Capital A International berkembang sebagai syarikat awam tersenarai berasingan dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Mereka akan berkongsi DNA asas AirAsia, dengan ciri kos rendah, kecekapan tinggi dan komitmen tanpa henti untuk menjadi pengganggu pasaran yang bebas dan berdaya tahan,” katanya.

Beliau juga akan menumpukan kepada memberi semula nilai terhadap pemegang saham dalam tempoh barunya ini di samping menghasilkan strategi jangka terhad untuk kumpulan, meninggalkan status PN17 dan mengukuhkan lembaran imbangannya.

Selain memperbaharu tempoh itu, Tony juga dilantik selaku penasihat dan pengelola untuk CEO AirAsia Aviation Group memandangkan kumpulan syarikat penerbangan itu memulakan era baharu transformasi dan pertumbuhan.

Pengerusi AirAsia Aviation Group Jamaludin Ibrahim berkata, Fernandes akan menawarkan pemerhatian strategik terhadap AirAsia Aviation Group, meliputi rancangan pengembangan dan penggantian serta menjadi saluran utama antara Capital A dan ekosistem perniagaan penerbangan untuk memastikan keseluruhan peluang bersama dimanfaatkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.