Pegawai Imigresen tak boleh tolak baharui pasport kerana bahasa, kata KP

Pegawai Imigresen tak boleh tolak baharui pasport kerana bahasa, kata KP

Terdahulu tular kejadian seorang wanita tidak dapat membaharui pasport di UTC Pulau Pinang kerana tidak boleh berbahasa Melayu.

Ruslin Jusoh berkata Imigresen telah memperbaharui pasport seorang wanita yang permohonan awalnya didakwa ditolak kerana tidak boleh berbahasa Melayu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Jabatan Imigresen (JIM) menegaskan pegawai-pegawainya tidak dibenarkan menolak sebarang permohonan membaharui passport hanya kerana pelanggan gagal menguasai bahasa Melayu.

Ketua Pengarah Imigresen Ruslin Jusoh bagaimanapun berkata, pegawai-pegawainya akan melakukan semakan rawak dari pelbagai aspek “secara profesional dan berhemah” bagi mengesahkan sesuatu permohonan.

Beliau berkata demikian susulan tular di media sosial baru-baru ini keluhan seorang lelaki bahawa ibunya tidak dibenarkan membaharui pasport di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pulau Pinang kerana tidak boleh berbahasa Melayu.

Lelaki itu dilaporkan menjelaskan kepada pegawai di UTC tersebut bahawa ibunya warganegara Malaysia namun penguasaan bahasa Melayunya terhad kerana tidak bersekolah.

Dalam kenyataannya hari ini, Ruslin memaklumkan bahawa pelanggan tersebut telah dapat membaharui pasport dan mengambilnya di Pejabat UTC Pulau Pinang pada Isnin lepas.

“Jabatan Imigresen komited dalam memberikan perkhidmatan yang baik kepada pelanggan dan sentiasa mengingatkan semua pegawai untuk menyantuni pelanggan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.