Parti Orang Asli mahu lawan PH, PN di KKB

Parti Orang Asli mahu lawan PH, PN di KKB

Asli akan mempertaruhkan ahli perniagaan berusia 30-an.

PRK Kuala Kubu Baharu adalah penampilan sulung Parti Orang Asli Malaysia (Asli) dalam pilihan raya.
PETALING JAYA:
Parti Orang Asli Malaysia (Asli) akan meletakkan calon di PRK Kuala Kubu Baharu 11 Mei ini menentang Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

Presiden Rashid Ka’ berkata, parti itu akan mempertaruhkan seorang ahli perniagaan berusia 30-an yang juga anak jati Orang Asli Selangor berkelulusan ijazah.

Rashid Ka’.

“Pengumuman calon akan dibuat Jumaat ini. Sekarang kita dalam proses buat persiapan akhir. Kita akan bertanding menggunakan logo Asli,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, keputusan menyertai PRK itu adalah penampilan sulung Asli dalam pilihan raya.

Katanya, Asli mengambil keputusan bertanding di KKB untuk memberi alternatif kepada pengundi membuat pilihan memilih wakil rakyat selain “parti gergasi” seperti PH dan PN walaupun calon diketengahkan bukan daripada kaum majoriti.

“Keadaan politik sudah berubah, bukan macam dulu. Tak semestinya calon daripada kaum majoriti dijamin menang besar dalam pilihan raya.

“Rakyat akan nilai dari semua sudut, tidak mustahil kita boleh buat kejutan walaupun di KKB jumlah Orang Asli tidak sampai 10%,” katanya.

Pendaftaran Asli diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) pada 6 Dis 2022 dan sehingga kini berjaya menubuhkan badan perhubungan di setiap negeri Malaysia Barat.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong daripada DAP pada 21 Mac lalu akibat barah.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari penamaan calon pada 27 April manakala undi awal 7 Mei.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.