Papan iklan McDonald’s di Sg Petani jadi sasaran vandalisme

Papan iklan McDonald’s di Sg Petani jadi sasaran vandalisme

Ketua Polis Kuala Muda berkata siasatan dibuat bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat.

Polis berkata papan iklan itu diturunkan dan satu laporan dibuat pada 22 April. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Papan iklan McDonald’s di Sungai Petani, Kedah, menjadi sasaran vandalisme dalam kejadian terbaru terhadap syarikat Amerika Syarikat susulan sokongan Washington terhadap perang Israel di Gaza.

Papan iklan mengumumkan kemudahan pandu lalu pada masa akan datang itu diconteng dengan perkataan “Boikot pembunuh”, “Darah Palestin di tangan kamu”, dan “Bebaskan anak Palestin”.

Ketua Polis Kuala Muda, Wan Azharuddin Wan Ismail, berkata siasatan dijalankan bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat.

“Kami telah rakam keterangan daripada tiga individu. Tiada tangkapan dibuat setakat ini,” katanya.

“Papan iklan yang dirosakkan itu pertama kali dikesan pada 19 April, dan ia diturunkan sebelum laporan polis dibuat pada 22 April.”

Gambar papan iklan dirosakkan itu tular selepas ia dikongsi di Facebook pada 20 April.

McDonald’s menjadi sasaran boikot sejak pemegang francais di Israel mengumumkan ia akan menderma makanan percuma kepada tentera Israel di tengah-tengah perang di Gaza.

Awal bulan ini, satu keluarga yang makan di sebuah outlet McDonald’s di Kuantan, Pahang, diancam oleh sekumpulan lelaki yang berkempen untuk memboikot rangkaian makanan segera itu.

Beberapa individu ditahan dalam siasatan kes itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar, menasihatkan orang ramai tidak mengambil tindakan ekstrem dan melampau dalam isu memboikot barangan atau perniagaan dikaitkan dengan Israel.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.