Nahas 2 helikopter: Laporan interim dijangka siap dalam 2 minggu

Nahas 2 helikopter: Laporan interim dijangka siap dalam 2 minggu

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Pertahanan Khaled Nordin pada mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, menurut Fahmi Fadzil.

Semalam, 2 helikopter TLDM terhempas di Lumut ketika menjalani raptai bersempena lintas hormat sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90, mengorbankan 10 orang. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Laporan interim nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang bertembung di udara sebelum terhempas semalam akan siap dalam tempoh dua minggu, menurut Fahmi Fadzil.

Menteri komunikasi itu berkata, Menteri Pertahanan Khaled Nordin memaklumkan perkara itu pada mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

“Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini berbincang dengan mendalam mengenai insiden nahas helikopter TLDM semalam dan menteri pertahanan memberi komitmen untuk memberi laporan interim dalam tempoh dua minggu.

“Laporan penuh (nahas dua helikopter TLDM) ini akan siap dalam tempoh sebulan,” katanya pada sidang media di Putrajaya, lapor Berita Harian.

Semalam, 2 helikopter TLDM bertembung di udara ketika sedang menjalani raptai bersempena lintas hormat sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90, dijadualkan berlangsung pada 3 hingga 5 Mei ini.

Pesawat-pesawat itu kemudian terhempas di dua lokasi, iaitu Stadium TLDM Lumut dan kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut, mengorbankan 10 orang terdiri daripada kru dan penumpang.

Sementara itu, pada sidang media sama, Fahmi menekankan bahawa tiada wartawan ditahan mahupun mana-mana saluran akhbar ditutup oleh kerajaan perpaduan setakat ini.

Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap dakwaan Amnesty International bahawa kebebasan bersuara di negara ini merosot setelah lebih setahun kerajaan perpaduan mentadbir.

“Kita terima pandangan Amnesty, cuma ada beza kebebasan bersuara dengan fitnah,” kata jurucakap kerajaan perpaduan itu.

Dalam laporan Keadaan Hak Asasi Manusia Dunia 2023-2024 yang dilancarkan semalam, Amnesty berkata, walaupun kerajaan berjanji melaksanakan reformasi, Malaysia menyaksikan peningkatan dalam penapisan, gangguan dan sekatan terhadap perhimpunan aman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.