Nahas 2 helikopter: Kerajaan salur RM10,000 bantu keluarga mangsa

Nahas 2 helikopter: Kerajaan salur RM10,000 bantu keluarga mangsa

Kementerian Pertahanan turut menubuhkan tabung khas bagi orang ramai menyumbang kepada waris mangsa.

Kerajaan akan menyalurkan bantuan awal bagi meringankan beban waris 10 mangsa nahas helikopter TLDM terhempas semalam. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kerajaan akan menyalurkan bantuan awal RM10,000 kepada setiap keluarga 10 mangsa nahas dua helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut semalam.

Menteri Pertahanan, Khaled Nordin, memaklumkan bantuan itu disalurkan untuk meringankan beban ditanggung waris mangsa.

“Kementerian Pertahanan juga menubuhkan tabung khas bagi memudahkan orang ramai untuk turut menghulurkan sumbangan kewangan kepada keluarga mangsa.

“Segala kos perjalanan terakhir yang meliputi penerbangan ihsan dan pengurusan jenazah ditanggung sepenuhnya oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya dalam kenyataan.

Semalam, dua helikopter TLDM bertembung di udara ketika menjalani raptai bersempena lintas hormat sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90, dijadualkan berlangsung pada 3 hingga 5 Mei ini.

Pesawat itu kemudian terhempas di dua lokasi, iaitu Stadium TLDM Lumut dan kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut, mengorbankan 10 orang terdiri kru dan penumpang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.