Tambahan ahli PKR Kelantan tak gugat PAS, kata penganalisis

Tambahan ahli PKR Kelantan tak gugat PAS, kata penganalisis

Azmil Tayeb dan Azmi Hassan berkata PAS cukup teratur dan berakar umbi untuk berdepan sebarang perubahan pengaruh.

Penganalisis Azmil Tayeb, berkata ahli baharu PKR di Kelantan bukan petunjuk perubahan meluas pengundi.
PETALING JAYA:
Pertambahan ahli PKR di Kelantan tidak menggugat pengaruh PAS negeri, kata penganalisis.

Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia, berkata sukar melihat komponen Pakatan Harapan (PH) itu menjadi pencabar serius kepada pemerintahan PAS di Kelantan.

“Perkembangan pengaruh PKR di Kelantan boleh diabaikan,” katanya kepada FMT.

“PAS berakar umbi dan sangat teratur, terutama di masjid. Tambahan, parti itu cukup tersusun untuk sampai kepada pengundi.

“Ahli baharu mungkin daripada penyokong Umno yang kecewa, berbanding petunjuk peralihan meluas pengundi kepada PKR,” katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail, berkata Kelantan dilapor merekodkan pertambahan ahli baharu kedua tertinggi, sejak Jun 2023.

Beliau berkata, sehingga 21 Mac, jumlah ahli PKR negeri meningkat 2,027, menjadikan jumlah keseluruhan 60,356.

Sebagai perbandingan, laporan Harakah Daily pada 2023 mendakwa terdapat lebih 100,000 ahli PAS di Kelantan.

Azmil berkata, dalam dua pilihan raya terdahulu, PAS lebih dominan dengan PKR hanya memaparkan kehadiran minimum di lapangan.

Ketika PKR bersekutu bersama PAS antara 1999 dan 2013, parti itu menguasai beberapa kerusi Parlimen dan negeri di Kelantan.

Bagaimanapun, sejak PRU14 pada Mei 2018, PKR tidak berjaya menang walaupun satu kerusi di negeri berkenaan.

Dalam pada itu, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara, berkata kedudukan PKR dalam gabungan pemerintah boleh menarik ahli baharu, berlainan dengan parti lain dalam kerajaan.

“Ahli ini di Kelantan memerlukan sesuatu untuk bergantung. Sebelum ini, mungkin mereka sokong Umno, namun kini PKR lebih memberi daya tarikan berbanding Amanah, memandangkan peranan PKR dalam kerajaan pusat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.