Strategi Iskandar Malaysia bantu Malaysia jadi antara 30 ekonomi terbesar

Strategi Iskandar Malaysia bantu Malaysia jadi antara 30 ekonomi terbesar

Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar mahu capai pelaburan kumulatif sebanyak RM636 bilion menjelang 2030.

Kerajaan menyasar untuk meningkatkan ekonomi sehingga menjadi antara 30 ekonomi terbesar di dunia dalam tempoh 10 tahun.
KUALA LUMPUR:
Sasaran Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) untuk mencapai pelaburan kumulatif sebanyak RM636 bilion menjelang 2030 merupakan antara strategi Iskandar Malaysia dalam membantu negara menjadi antara 30 ekonomi terbesar dunia dan berada di tangga ke-12 teratas dunia dalam Daya Saing Global.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata bagi tempoh yang sama IRDA menyasar kadar pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) antara 5.5% sehingga 6.5% dan KDNK per kapita sebanyak RM58,800 bagi koridor ekonomi terbabit .

“Saya percaya, sasaran pertumbuhan Iskandar Malaysia ini turut akan dipacu oleh inisiatif yang telah saya umumkan seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Kewangan Khas Forest City,” katanya menerusi di X.

Terdahulu, Anwar yang juga menteri kewangan mempengerusikan mesyuarat ahli IRDA ke-32, yang antara lain meneliti cadangan hala tuju sebagai pihak berkuasa koridor dan penyelarasan Pelan Pembangunan Komprehensif iii Iskandar Malaysia (CDPiii) 2022 -2030 di bawah agenda Ekonomi Madani.

Mesyuarat tersebut turut membincangkan inisiatif strategik untuk menambah baik Pusat Khidmat Pelaburan Iskandar Malaysia (IMISC) dan meningkatkan sosioekonomi melalui padanan pekerjaan yang saksama.

Menurut perdana menteri, perkara tersebut selari dengan keputusan kerajaan menyusun semula landskap agensi penggalakan pelaburan negara yang dimulai dengan penyelarasan fungsi dan peranan koridor ekonomi wilayah berkaitan pelaburan.

Turut hadir pada mesyuarat tersebut Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi; Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli; dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Anwar semasa peluncuran Ekonomi Madani berkata kerajaan menyasar untuk meningkatkan ekonomi sehingga menjadi antara 30 ekonomi terbesar di dunia dalam tempoh 10 tahun daripada kedudukan ke-37 dalam data Bank Dunia pada 2022, dengan menumpukan kepada penyerantauan dan daya saing yang lebih besar, mengutamakan ekonomi yang kompleks, dan meningkatkan rantaian nilai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.