
Beliau berkata, program Bahan “Enhancing Reading Through Digital Text” (ERDT) bawah Program Literasi untuk Murid Orang Asli dan Peribumi boleh membantu mereka mengukuhkan penguasaan bahasa Inggeris, dengan perkembangan positif dapat dilihat setakat ini.
“Dasar memartabatkan bahasa Melayu dan mengukuhkan bahasa Inggeris dijalankan secara seiring bagi memastikan murid berkeupayaan menggunakan kedua-dua bahasa dengan baik termasuk dalam konteks penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua dalam pelajaran mereka.
“Saya fikir ini antara inovasi terbaik dalam bidang pendidikan kita (yang) akan memberikan tumpuan penuh dan memastikan mereka tidak akan tercicir,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Peluncuran Bahan “Enhancing Reading Through Digital Text” bawah Program Literasi untuk Murid Orang Asli dan Peribumi di SK Kuala Betis di Gua Musang hari ini, lapor Bernama.
Menurut Fadhlina, bahan pengajaran dan pembelajaran hasil kerjasama daripada beberapa rakan sinergi yang lain akan digunakan sepenuhnya untuk membantu pengukuhan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan anak-anak Orang Asli mengikut suku kaum masing-masing.
“Teknologi yang digunakan melalui ERDT ini mampu mengesan keciciran dalam kalangan pelajar dengan menggunakan kaedah inovasi yang dijalankan,” katanya.
“Inovasi ini penting bagi memastikan tiada kanak-kanak yang terpinggir dalam menguasai bahasa Inggeris memandangkan perhatian akan ditumpukan sepenuhnya kepada keupayaan dalam bentuk pembudayaan teknologi.”
Tambahnya, inovasi program ini dalam pendidikan dapat mengukuhkan penguasaan bahasa Inggeris mengikut suku kaum tanpa meminggirkan warisan, kebudayaan serta ekosistem mereka.
Menurut Fadhlina, program ERDT ini akan diperluas pada peringkat Kementerian Pendidikan (KPM) mengikut sekolah berdasarkan demografik.