
Mangsa terdiri tujuh lelaki dan tiga wanita, menurut TLDM dalam kenyataan.
Mangsa terkorban ialah empat kru dan tiga penumpang yang menaiki pesawat HOM (M503-3) iaitu Pegawai Memerintah Skuadron 503 Muhammad Firdaus Ramli, Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin, Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi, Muhammad Faisol Tamadun, Noorfarahimi Mohd Saedy, Noor Rahiza Anuar dan Joanna Felicia Rohna.
Tiga kru menaiki Fennec yang turut terkorban terdiri Pegawai Memerintah Skuadron 502 Muhamad Amir Mohamad, T Sivasutan dan Mohd Shahrizan Mohd Termizi.
Sementara itu, pada sidang media di Pangkalan TLDM Lumut, Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri berkata, operasi membawa keluar mangsa selesai dijalankan pasukan penyelamat diketuai TLDM bersama polis dan bomba.
“Semua mangsa dibawa ke Hospital Angkatan Tentera Lumut, bagaimanapun proses bedah siasat akan dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRBP) Ipoh,” katanya, lapor Sinar Harian.
Beliau berkata, buat masa ini, kerja-kerja siasatan sedang dijalankan di dua lokasi iaitu Stadium TLDM Lumut dan kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut.
Awal hari ini dilaporkan 2 helikopter bertembung di udara ketika menjalani raptai sempena lintas hormat sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90, dijadualkan berlangsung pada 3 hingga 5 Mei ini.
Pesawat itu kemudian terhempas, dengan HOM jatuh di Stadium TLDM Lumut, manakala Fennec terhempas di kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut.