Nahas 2 helikopter: Perbarisan Hari TLDM ke-90 akan dipertimbang, kata Khaled

Nahas 2 helikopter: Perbarisan Hari TLDM ke-90 akan dipertimbang, kata Khaled

Menteri pertahanan itu berkata, penerusan sambutan itu akan dipertimbangkan memandangkan program telah disusun oleh TLDM.

Khaled Nordin berkata, Kementerian Pertahanan akan cuba mendapatkan laporan interim berhubung kejadian 2 helikopter TLDM terhempas di Lumut dengan kadar segera.
KUALA LUMPUR:
Penerusan Majlis Sambutan Perbarisan Hari TLDM ke-90 akan dipertimbangkan susulan kejadian dua helikopter TLDM yang berlanggar dan terhempas di Pangkalan TLDM Lumut, Perak, pagi tadi, kata Menteri Pertahanan Khaled Nordin.

“Saya percaya akan dipertimbangkan kerana ia adalah program yang disusun oleh TLDM,” katanya apabila ditanya sama ada program tersebut akan dihentikan atau tidak.

Beliau berkata demikian kepada media di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Kementerian Pertahanan 2024 di Dewan Seroja Kem Kementah hari ini.

Tambahnya, pihaknya juga akan cuba mendapatkan laporan interim berhubung kejadian itu dengan kadar segera.

“Kita akan tengok laporan interim, kita akan cuba buat seberapa segera dan kemudian akan ada laporan penuh, tetapi semua akan ambil masa.”

Mengulas lanjut, Khaled berkata insiden itu adalah nahas kali pertama melibatkan aset udara TLDM.

Khaled berkata, pihaknya akan berangkat ke Lumut untuk mendapatkan maklumat lanjut selain akan bertemu dengan keluarga anggota terlibat.

“Saya sendiri dan panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan pergi ke Lumut bagi mendapatkan maklumat di lokasi kejadian.

“Ada keluarga tinggal di situ mungkin bertemu keluarga, beberapa (keluarga) mangsa yang dari pengkalan Sabah, kapal terbang TUDM akan bawa mereka ke Lumut,” katanya.

Difahamkan, 10 mangsa maut adalah anggota TLDM dari pangkalan Kota Kinabalu dan Lumut.

“Semua mangsa berlainan pangkat, membabitkan ketua skuadron, pegawai dan lain-lain pangkat berusia 40 tahun ke bawah,” katanya sambil memaklumkan jenazah telah dibawa ke Hospital Angkatan Tentera Pangkalan TLDM Lumut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.