
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali, berkata langkah itu dibuat selepas mengambil kira pandangan dan maklum balas syarikat minyak pembekal dan industri pengangkutan.
“Kita setuju pertimbangkan rayuan, kalau sebelum ni syarikat barangan dihadkan mempunyai dua pilihan syarikat pembekal minyak, kita memberi pilihan tambahan iaitu boleh pilih tiga daripada lima syarikat minyak,” katanya pada sidang media.
Terdahulu, Armizan mengadakan libat urus bersama industri pengangkutan dan syarikat pembekal minyak bagi mendapatkan kerjasama ahli persatuan pengangkutan darat.
Armizan turut menggesa lebih banyak syarikat sektor pengangkutan darat (barangan) segera memohon menyertai projek rintis Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0, selewat-lewatnya 30 April.
Katanya, 30 April bukan tarikh tutup permohonan, bagaimanapun ia bagi memastikan supaya kenderaan jenis barangan bersedia jika kerajaan mengumumkan pelaksanaan penyelarasan subsidi diesel kelak.
Jelasnya, ramai sudah mendaftar melalui sistem itu, namun masih ada mengambil keputusan tunggu dan lihat dalam permohonan mendapatkan kad fleet terbabit.
Sementara itu, Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh, ketika dihubungi FMT berkata jika syarikat terbabit tidak mendaftar maka mereka akan ketinggalan apabila kerajaan memulakan penyasaran subsidi kelak.
“Maka, rakyatlah yang akan menjadi mangsa nanti (peniaga ambil kesempatan kerana dakwa kos operasi naik),” katanya.
Projek rintis SKDS 2.0 diperluaskan pada Mac kepada sembilan jenis sektor pengangkutan darat (barangan) akan menikmati subsidi membabitkan lori kargo am, minuman botol, sejuk beku, kotak, tangki, tangki air, van panel, dan van tingkap berpanel.
Permohonan boleh dibuat menerusi mysubsidi.kpdn.gov.my.