
Presiden Mahkamah Rayuan Abang Iskandar Abang Hashim, yang mengetuai panel tiga hakim berkata, terdapat merit dalam permohonan itu kerana ia membabitkan isu kesihatan awam, justeru memenuhi elemen kepentingan awam bawah Seksyen 96(a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
“Oleh itu, kami membenarkan kesemua enam persoalan undang-undang yang dibangkitkan didengar dengan lebih lanjut dalam prosiding rayuan,” kata Abang Iskandar yang bersidang bersama Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli dan Hakim Mahkamah Persekutuan Hanipah Farikullah.
Antara persoalan perundangan itu termasuk penggunaan dan kesan Ivermectin yang belum didaftarkan kerana masih menunggu penyelidikan klinikal lanjut oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tanpa jaminan ia boleh digunakan ke atas manusia atau untuk merawat Covid-19; sama ada ia bertentangan dengan kepentingan keadilan bagi menghalalkan penggunaan Ivermectin terhadap manusia; dan dispensasi Ivermectin oleh profesion perubatan yang berdaftar bawah Akta Racun 1952 dan Peraturan-Peraturan Racun 1952.
Pada 25 Ogos tahun lepas, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa pengamal perubatan berdaftar boleh memberikan Ivermectin kepada pesakit bagi tujuan rawatan perubatan sahaja, serta mematuhi Seksyen 19 Akta Racun 1952 dan Peraturan-Peraturan Racun 1952.
Panel itu turut memutuskan, kes itu bukan bertujuan mengiktiraf Ivermectin sebagai remedi alternatif bagi rawatan Covid-19, sebaliknya mengakui hak pengamal perubatan dalam melaksanakan pertimbangan profesional mereka untuk memberikan ubat-ubatan tergolong dalam Racun Kumpulan B, yang merangkumi Ivermectin, kepada pesakit.
Panel dianggotai oleh Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan Abdul Karim Jalil; Abu Bakar Jais (kedua-duanya kini hakim Mahkamah Persekutuan); dan Collin Lawrence Sequerah telah membenarkan rayuan dua doktor bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman mereka.
Pada 21 Sept 2021, Presiden Persatuan Kemajuan Perubatan Fungsian dan Antara Disiplin Malaysia Dr Vijaendreh Subramaniam serta Dr Che Amir Farid Che Isahak memfailkan saman pemula terhadap KKM dan kerajaan.
Mereka memohon mahkamah memutuskan tafsiran peruntukan dalam Akta Racun 1952 dan Peraturan-Peraturan Racun 1952 serta menentukan sama ada pengamal perubatan berdaftar berhak memberikan Ivermectin kepada pesakit.
Pada 14 Jun 2021, sekumpulan pegawai Bahagian Perkhidmatan Farmasi dari Jabatan Kesihatan Selangor telah merampas ubat Ivermectin dari klinik Dr Che Amir Farid.
Peguam Kanan Persekutuan Rahazlan Affandi Abdul Rahim serta Liew Horng Bin mewakili KKM dan kerajaan, manakala peguam Gurdial Singh Nijar dan Abraham Au mewakili kedua-dua doktor pada prosiding dalam talian hari ini.