Kes rasuah projek tenaga solar: Rayuan Rosmah didengar Oktober

Kes rasuah projek tenaga solar: Rayuan Rosmah didengar Oktober

Mahkamah Rayuan terlebih dahulu akan mendengar permohonannya agar hakim perbicaraan Zaini Mazlan menarik diri.

Rosmah Mansor meminta Hakim Zaini Mazlan menarik diri daripada mendengar kesnya selepas dokumen didakwa draf penghakimannya diterbitkan oleh penulis blog Raja Petra Kamarudin.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan menjadualkan dua tarikh pada Oktober untuk mendengar rayuan Rosmah Mansor berhubung sabitan dan hukuman terhadapnya dalam kes rasuah projek tenaga solar sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Peguam Akberdin Abdul Kader berkata, Timbalan Pendaftar Mahkamah Noor Firdaus Rosli menetapkan tarikh 23 dan 24 Okt pada pengurusan kes hari ini.

Peguam itu berkata, hakim akan terlebih dahulu mendengar rayuan Rosmah agar hakim perbicaraan Zaini Mazlan menarik diri daripada mendengar kes itu, didakwa atas alasan “pihak ketiga” tertentu telah menyediakan draf penghakiman baginya.

“Rayuan substantif akan didengar jika penarikan diri (hakim itu) tidak dibenarkan,” katanya kepada FMT.

Pada 7 Julai tahun lepas, panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Hakim Azizah Nawawi menangguhkan rayuan sementara menunggu keputusan rayuan lain di hadapan Mahkamah Persekutuan yang mencabar pelantikan Gopal Sri Ram sebagai pendakwa ad hoc dalam kes itu.

Usaha Rosmah selama dua tahun di mahkamah berhubung perkara itu berakhir bulan lepas selepas panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Presiden Mahkamah Rayuan Abang Iskandar Abang Hashim memutuskan dia gagal memenuhi ambang yang diperlukan oleh undang-undang untuk memperoleh kebenaran merayu perkara itu di mahkamah tertinggi.

Peguam Jagjit Singh mewakili Rosmah dalam pengurusan kes hari ini manakala Timbalan Pendakwa Raya K Mangai hadir mengendalikan pendakwaan.

Pada 1 Sept 2022, Zaini menolak permohonan saat akhir Rosmah untuk menghalang hakim itu daripada mendengar kesnya.

Rosmah telah berusaha mendesak Zaini menarik diri selepas dokumen didakwa draf penghakimannya diterbitkan oleh penulis blog Raja Petra Kamarudin.

Isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu mendakwa draf penghakiman itu bukan disediakan oleh Zaini, sebaliknya oleh pihak ketiga. Rosmah mendakwa, Zaini tidak sepatutnya mendengar kes itu kerana dia telah hilang keyakinan terhadap hakim itu.

Pada hari yang sama, Zaini mensabitkan Rosmah atas kesalahan meminta RM187.5 juta daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin menerusi bekas pembantunya, Rizal Mansor, sebagai dorongan untuk membantu syarikat itu mendapatkan projek solar.

Dia juga disabitkan bersalah menerima rasuah berjumlah RM5 juta daripada Saidi, juga melalui Rizal, di Seri Perdana, Putrajaya pada 20 Dis 2016, dan atas satu lagi tuduhan menerima RM1.5 juta daripada Saidi di Jalan Langgak Duta pada 7 Sept 2017.

Zaini menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun bagi setiap satu tuduhan, memerintahkannya berjalan serentak. Beliau juga memerintahkan Rosmah membayar denda RM970 juta.

Jika gagal membayar denda, Rosmah diperintah menjalani tambahan 10 tahun lagi penjara selepas selesai hukuman awal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.