
Bekas pemimpin Umno itu mengemukakan tawaran berkenaan bagi mengelak prosiding menghina mahkamah dibawa oleh peguam negara.
Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib ketika memaklumkan Hakim Noorin Badaruddin bahawa peguam Isham telah menghantar representasi kepada peguam negara, dalam usaha menyelesaikan kes.
“Saya masih belum memberi taklimat kepada peguam negara dan mengambil arahan representasi,” kata Ahmad kepada Noorin ketika sebutan kes, hari ini.
Akram, yang dibantu Timbalan Pendakwa Raya Mustaffa Kunyalam, memohon sebutan semula kes ditetapkan ke satu tarikh pada Jun, sambil menyatakan beliau ketika ini terbabit dalam bicara 1MDB yang sedang berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.
Dalam pada itu, Mustaffa memberitahu Noorin bahawa semua kertas kausa telah diserah kepada Isham selepas mahkamah memberi kebenaran kepada peguam negara memulakan prosiding terhadapnya.
Peguam Jamie Wong dan Kelvesh Deshenraj, mewakili Isham mengesahkan menghantar representasi bagi pihak Isham dengan harapan menyelesaikan perkara itu tanpa pendengaran.
Noorin menetapkan sebutan semula kes pada 10 Jun dan mengarahkan Isham, yang tidak hadir hari ini hadir pada prosiding seterusnya.
Pada 4 Mac, Noorin membenarkan peguam negara memulakan prosiding menghina mahkamah, selepas berpuas hati wujud kes prima facie terhadap Isham.
Difailkan pada 28 Dis tahun lalu, permohonan itu melibatkan kenyataan Isham yang didakwa ketika temu bual bertajuk, “Townhall for Justice: Keadilan sebenarnya untuk siapa”.
Temu bual itu disiarkan di Facebook pada 30 Sept 2023, menerusi akaun Malaya Post.
Dalam afidavit difailkan dalam sokongan kepada permohonan kebenaran, Mustaffa mendakwa Isham dalam temu bual mengulas perbicaraan 1MDB dan SRC International Najib, dan tindakan Mahkamah Persekutuan terhadap rayuan terakhir dalam kes kedua.
Isham didakwa juga menuduh Sequerah dan Hakim Nazlan Ghazali, yang mendengar kes 1MDB dan SRC International, masing-masing, berat sebelah. Beliau didakwa sebagai berkata hakim sepatutnya menarik diri daripada mendengar kes itu.
Kedua-dua hakim berkenaan kini menjadi hakim Mahkamah Rayuan.
Menurut Mustaffa, Isham juga mendakwa lima hakim mahkamah atasan, diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, yang mendengar rayuan akhir Najib dalam kes SRC International, membuat penghakiman tidak adil.
Afidavit berkenaan mendakwa kenyataan Isham boleh menjejaskan keyakinan orang awam terhadap badan kehakiman dan sampai ke tahap campur tangan dalam pentadbiran keadilan.