
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, tajaan itu adalah 10% daripada jumlah caruman SKSPS bernilai RM232.80 setahun yang perlu dibayar oleh setiap pencarum bagi skim perlindungan berkenaan.
Inisiatif itu hasil memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai antara Kementerian Komunikasi melalui Finas bersama Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi Perkeso hari ini bagi menyediakan sokongan jaringan keselamatan sosial kepada penggiat seni.
“Untuk tahun ini, 90% dibayar oleh kerajaan manakala 10% lagi oleh Finas, jadi penerima (penggiat seni) tidak perlu bayar apa-apa (untuk tempoh setahun),” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani MoU itu hari ini, lapor Bernama.
MoU itu ditandatangani oleh CEO Finas Azmir Saifuddin Mutalib dan CEO Kumpulan Perkeso Mohammed Azman Aziz Mohammed dengan disaksikan oleh Fahmi serta Menteri Sumber Manusia Steven Sim.
Turut hadir, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Mohamad Fauzi Md Isa; Ketua Setiausaha KSM Khairul Dzaimee Daud, Pengerusi Lembaga Perkeso Subahan Kamal; dan Pengerusi Finas Kamil Othman.
Fahmi berkata, beliau juga bercadang menggunakan konsep sama bagi membantu kumpulan seni muzik yang masih pada peringkat kajian.
Pada sidang media sama, Sim berkata, peluasan caruman SKSPS untuk penggiat seni ini menjadikan lebih 400,000 golongan pekerja sendiri telah dicarum, meliputi pelbagai bidang dan profesion.
Katanya, model kerjasama rentas kementerian juga lebih mudah untuk memastikan golongan pekerja sendiri daripada pelbagai bidang dapat mencarum dalam skim perlindungan itu.
“Kita akan melihat kepada model bekerjasama dengan kementerian supaya pekerja bebas juga dapat Perkeso,” katanya.
“Tahun lepas, kita telah beri lebih RM31 juta bawah SKSPS. Untuk tahun ini, Perkeso setakat ini telah membayar RM7 juta kepada 1,500 pencarum SKSPS.”
Dalam pada itu, Finas berkata, skop kerjasama MoU itu adalah antara usaha menggalakkan pendaftaran dan meningkatkan penyertaan semua individu atau badan berkaitan dengan aktiviti perfileman dalam SKSPS.