
Fahmi Fadzil mengulas kenyataan Sanusi Nor semalam, yang berkata Perikatan Nasional akan ‘pecahkan lagi’ keretakan dalam hubungan antara MCA dengan PH.
“Dia sembang banyak tapi siap tak banyak,” kata Fahmi pada sidang media selepas upacara menandatangani memorandum persefahaman antara Finas dan Perkeso di sebuah hotel di ibu negara.
“Daripada sibuk tentang negeri lain, lebih baik sibukkan diri dia untuk siapkan pelbagai projek yang telah diumumkan di Kedah.”
Sanusi, yang juga menteri besar Kedah, berpandangan keputusan MCA untuk tidak terlibat dalam kempen PRK Kuala Kubu Baharu akan memberi kelebihan kepada PN.
DAP dijangka akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri itu, yang kosong susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong.
MCA mengumumkan ia tidak akan terlibat dalam kempen itu sekiranya calon bukan daripada Barisan Nasional.
Menjelaskan pendirian tersebut, Presiden Wee Ka Siong berkata ahli MCA terguris dengan penghinaan pemimpin DAP.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari mengundi jatuh pada 11 Mei, dengan 27 April sebagai hari penamaan calon.