2 pengarah syarikat didakwa tipu jual beli pasir RM1.2 juta

2 pengarah syarikat didakwa tipu jual beli pasir RM1.2 juta

See Chew Hoon, 47, dan Ng Lee Teong, 55, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.

Dua pengarah syarikat perlombongan, See Chew Hoon, 47, dan Ng Lee Teong, 55, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini terhadap pertuduhan menipu seorang lelaki dalam urusan jual beli pasir membabitkan RM1.2 juta.
KUALA LUMPUR:
Dua pengarah syarikat perlombongan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu seorang lelaki dalam urusan jual beli pasir membabitkan wang berjumlah RM1.2 juta, tujuh tahun lepas.

See Chew Hoon, 47, dan Ng Lee Teong, 55, bersama-sama Kok Chung Fui, 50, yang telah dituduh, didakwa dengan niat bersama menipu Loh Yee Meng, 43, dengan memperdayakannya dalam urusan perniagaan jual beli pasir sehingga mendorong lelaki itu menyerahkan wang berkenaan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah hotel di Persiaran Hampshire, Jalan Ampang di sini antara 27 Ogos hingga 26 Okt 2017.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara tidak kurang dari setahun dan maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Akmalzatul Mohamed Nawi menawarkan jaminan RM300,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan memohon pasport kedua-dua mereka diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Peguam Joy W Appukuttan yang mewakili dua tertuduh itu memohon jaminan RM20,000 kerana mereka perlu menanggung keluarga.

Hakim Sabariah Othman yang menetapkan sebutan kes pada 23 Mei membenarkan jaminan RM80,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh selain mereka perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali sehingga kes selesai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.