Tiong terbuka mengenai penggabungan PDP-PRS

Tiong terbuka mengenai penggabungan PDP-PRS

Cadangan Ahli Parlimen Julau itu dibuat beberapa minggu lepas selepas pembubaran PSB dan penerimaan anggotanya secara serentak ke dalam PDP.

Presiden PDP Tiong King Sing berkata langkah pertama mesti bermula daripada PRS berdasarkan ‘visi dan misinya’.
KUALA LUMPUR:
Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Tiong King Sing terbuka kepada penggabungan dengan Parti Rakyat Sarawak (PRS), tetapi ia akhirnya terpulang kepada mereka.

Tiong berkata sesiapa sahaja bebas untuk mencadangkan penggabungan, tetapi PRS perlu membuat keputusan berdasarkan “visi dan misi”nya.

“Bagi kami (PDP), pintu sentiasa terbuka,” katanya kepada pemberita pada majlis di sini hari ini.

Menteri pelancongan, kesenian dan kebudayaan itu juga menekankan objektif lebih luas pakatan tersebut, iaitu bekerja sebagai satu pasukan untuk membangunkan negara dan Sarawak.

Beliau diminta mengulas cadangan Ahli Parlimen Julau Larry Sng mengenai potensi penggabungan antara PDP dan PRS, yang menurut Sng akan mengukuhkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang memerintah dan “kerana Dayak”.

Cadangan Sng itu dibuat beberapa minggu selepas Parti Sarawak Bersatu (PSB) dibubarkan dan penerimaan anggotanya secara berkumpulan ke dalam PDP.

Minggu lalu, seorang penganalisis memberitahu FMT bahawa parti-parti utama dalam GPS akan menentang sebarang penggabungan antara PDP dan PRS yang akan membentuk barisan Dayak bersatu.

James Chin dari University of Tasmania berpendapat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) akan menentang sebarang penggabungan tersebut, untuk mengekalkan kedudukan dominan mereka di negeri itu.

Chin juga berkata penggabungan PDP-PRS juga akan menghadapi tentangan dari ahli mereka sendiri kerana ia akan mencetuskan perjuangan untuk jawatan presiden.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.