
Dr Afif Bahardin berkata apabila Jemaah Menteri memutuskan untuk membatalkan projek itu, beliau mula memantau portal berita.
Beliau berkata artikel sebuah portal berita menyebut jumlah RM100 juta yang perlu dibayar.
“Jadi saya cuma bertanya, adakah kita sanggup membayar jumlah itu? Kita bercakap tentang wang pembayar cukai,” katanya kepada FMT.
Adun Taman Medan itu berkata walaupun beliau bukan pakar dalam hal perjanjian konsesi, terdapat “klausa atau penalti yang perlu dibayar sekiranya projek dibatalkan”.
Awal hari ini, Lee Chean Chung dari PKR mempersoalkan bagaimana Afif mempunyai maklumat berhubung pampasan itu, kerana butiran mengenai perjanjian konsesi adalah di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).
“Adakah dia melihat laporan ini? Membaca laporan ini adalah melanggar Akta Rahsia Rasmi,” Ahli Parlimen Petaling Jaya itu yang dipetik Malaysiakini.
Minggu lalu, susulan pengumuman kerajaan bahawa ia tidak akan meneruskan projek itu, pemaju PJD Link berkata ia sedang mempertimbangkan permintaan untuk mengkaji semula jajaran lebuh raya itu.
Pada 17 April, jurucakap kerajaan perpaduan Fahmi Fadzil berkata keputusan itu dibuat selepas syarikat konsesi itu gagal memenuhi enam daripada 11 syarat yang ditetapkan Putrajaya.
Walau bagaimanapun, PJD Link mengaitkan syarat yang tidak dipenuhi dengan kerumitan projek, yang dikatakan mengambil masa lebih lama daripada yang dijangkakan untuk diselesaikan.
Afif seterusnya melahirkan kebimbangan bahawa kesesakan di kawasannya akan bertambah teruk kerana PJD Link telah dibatalkan tanpa cadangan untuk melebarkan jalan berhampiran Taman Medan.
Beliau berkata mengikut penilaian sosial, trafik dan impak alam sekitar yang diperolehnya daripada penyokong projek itu, 68.7% penduduk Taman Medan telah menyatakan sokongan terhadap PJD Link.
“Manfaatnya melebihi risiko. Lebuh raya itu akan menurunkan 60% kesesakan dari jalan dalaman Taman Medan dan Jalan Templer. Jalan dalam kami akan dapat digunakan semula.”
Mengikut perancangan, lebuh raya itu akan menghubungkan utara dan selatan Petaling Jaya melalui Petaling Jaya Utara, Bandar Utama, Taman Tun Dr Ismail, Taman Dato’ Harun, Taman Medan Baru, Taman Sri Manja, Bandar Kinrara dan Bukit Jalil Technology Park.
Cadangan pembinaan lebuh raya itu telah diluluskan secara prinsip oleh Jemaah Menteri pada November 2017.
Pada September 2020, kerajaan negeri turut meluluskan projek itu secara prinsip, tertakluk kepada penerimaan laporan penilaian impak.