
Razali Abdullah, wakil dari Taman Medan, berkata pembangunan itu penting bagi mengurangkan kesesakan jalan raya di komuniti mereka.
“Sebab-sebabnya agak jelas bila anda perhati Taman Medan, yang berdepan kesesakan lalu lintas,” katanya pada sidang akhbar.
Beliau berkata pertambahan bangunan dan pangsapuri di kawasan itu menyebabkan kepadatan penduduk yang lebih tinggi.
Pada minggu lalu, selepas kerajaan mengumumkan ia tidak akan meneruskan projek itu, pemaju PJD Link berkata ia mempertimbangkan permintaan untuk mengkaji semula jajaran lebuh raya itu.
Pada 17 April, jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil, berkata keputusan itu dibuat selepas pemegang konsesi gagal memenuhi enam daripada 11 syarat yang ditetapkan oleh Putrajaya.
Bagaimanapun, PJD Link berkata syarat yang tidak dipenuhi itu disebabkan projek tersebut yang kompleks, dan mengambil masa lebih lama dari yang dijangka untuk diselesaikan.
Razali berkata kerajaan seharusnya berunding dengan syarikat konsesi bukannya terus membatalkan projek itu.
“Pemegang konsesi terbuka untuk rundingan, jadi ia harus dibincangkan untuk menangani isu-isu sedia ada,” katanya, yang menambah penduduk tidak peduli syarikat mana yang diberi tanggungjawab itu selagi isu-isu di kawasan mereka dapat diselesaikan.
Beliau juga tinjauan penduduk di Petaling Jaya oleh syarikat konsesi mendapati kira-kira 60% menyokong projek tersebut.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Komuniti Petaling Jaya, Yusri Ramli berkata projek itu akan memberikan manfaat besar kepada kawasan sekitar Taman Medan, dan boleh mengurangkan kesesakan lalu lintas di Shah Alam dan Damansara.
Beliau mengakui projek itu memerlukan pembelian hartanah, yang mungkin mengecewakan sesetengah pemilik rumah, tetapi laluan itu pilihan terbaik, seperti yang ditentukan oleh perunding.
Mengikut perancangan, lebuh raya itu akan menghubungkan utara dan selatan Petaling Jaya melalui Petaling Jaya Utara, Bandar Utama, Taman Tun Dr Ismail, Taman Dato’ Harun, Taman Medan Baru, Taman Sri Manja, Bandar Kinrara, dan Bukit Jalil Technology Park.
Tahun lepas, kerajaan Selangor membatalkan permohonan pembinaan kerana tidak berpuas hati dengan pelan perancangan yang tidak menepati syarat ditetapkan.