Malaysia sasar tarik unicorn global dengan pakej insentif

Malaysia sasar tarik unicorn global dengan pakej insentif

Antara pakej insentif itu ialah pengecualian yuran pas penggajian bagi pengurusan kanan, sewa bersubsidi dan kadar cukai konsesi terhadap keuntungan korporat.

rafizi ramli
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, melalui pelabur dan bakat sesuai, Malaysia boleh menjadi pangkalan Asia Tenggara bagi syarikat teknologi global dengan ‘Unicorn Golden Pass’.
KUALA LUMPUR:
Malaysia menyasarkan untuk menarik unicorn global dengan “Unicorn Golden Pass” bagi mewujudkan pekerjaan berkemahiran dan bernilai tinggi, selain membangunkan saluran perhubungan usahawan masa depan serta pemimpin kanan dalam teknologi, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

“Melalui pelabur dan bakat sesuai di Malaysia, kita akan menjadikan Malaysia pangkalan Asia Tenggara bagi syarikat teknologi global dengan Unicorn Golden Pass,” katanya dalam ucaptama pada Sidang Kemuncak KL20 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini.

Beliau berkata, Malaysia menawarkan pakej insentif, termasuk pengecualian yuran pas penggajian bagi pengurusan kanan, sewa bersubsidi, kadar cukai konsesi terhadap keuntungan korporat, perkhidmatan penempatan semula dan concierge syarikat pemula niaga yang menguruskan pendaftaran belakang tabir pada permulaan.

Katanya, KL20 mewakili hasrat negara untuk membawa Malaysia dalam 20 ekosistem syarikat pemula niaga terbaik dunia dan dalam konsep ini merupakan penekanan kepada pragmatisme serta tindakan.

Menurutnya, KL20 menjangkau rancangan dan pelan tindakan, malah dilengkapi tindakan yang bermula hari ini, termasuk “VC Golden Pass”, “Innovation Pass”, “Unicorn Golden Pass”, “GPU Scheme”, “Innovation Belt” dan “Single Window”.

“Selain kertas analisis yang kami lancarkan hari ini, kami akan memperkenalkan skim boleh digunakan serta-merta.”

Pelan Tindakan KL20 menggariskan inisiatif baharu yang akan mempercepatkan bidang kritikal ekosistem syarikat pemula niaga, iaitu modal, bakat dan kualiti syarikat pemula niaga.

“Matlamatnya untuk Malaysia menjadi destinasi pilihan modal peringkat awal dan pertumbuhan; menjadi pusat usahawan bertaraf dunia dan bakat berkemahiran; serta sebagai lokasi bagi syarikat pemula niaga terkemuka dunia yang ingin bermula, berkembang dan berskala.”

Menerusi “VC Golden Pass”, Rafizi berkata, kerajaan mahu pemodal teroka terkemuka dunia, dengan kecanggihan sumber teroka dan capaian global, menjadikan Malaysia sebagai lokasi.

“Kami menawarkan beberapa siri insentif, termasuk peluang akses pembiayaan rakan kongsi terhad, ruang pejabat bersubsidi, pendaftaran lesen dipercepat dan pengecualian yuran untuk pas pekerjaan.”

Menerusi “Innovation Pass”, kerajaan berusaha meluaskan kumpulan bakat berkemahiran tinggi dalam negara dengan pengenalan program pas pekerjaan berbilang peringkat yang memberi manfaat disesuaikan kepada pengasas, pengurusan kanan, bakat berkemahiran tinggi serta bakat am dalam teknologi.

“Walaupun dengan semua ini, kita mengakui teknologi terbaik dan paling cemerlang tidak akan memasuki Malaysia, sekiranya infrastruktur kecerdasan buatan tidak disokong dengan baik,” katanya sambil memaklumkan Malaysia akan fokus mendapatkan kapasiti lebih besar bagi cip berkomputer tinggi dalam pusat datanya.

Beliau berkata, kerajaan sedang memperkenalkan Skim GPU (Unit Pemprosesan Grafik) KL20 untuk syarikat pemula niaga dan firma teknologi menyediakan penyelesaian kejayaan cemerlang di barisan depan teknologi AI, dan menawarkan infrastruktur diperlukan untuk berbuat demikian adalah penting.

Mengenai “Startup Single Window”, katanya, ia akan berperanan sebagai pusat sehenti mengenai maklumat dan aplikasi bagi ekosistem syarikat pemula niaga.

“Malaysia berkait rapat dari segi geografi dan budaya dengan pasaran terbesar dunia: Asia Tenggara, Asia Timur, India dan Timur Tengah. Penduduk tempatan kita yang pelbagai, digabungkan kemudahan digital berkualiti tinggi dan kos berpatutan, menjadikan kita tapak uji ideal untuk pelancaran produk dan rintis.”

Beliau berkata, Malaysia adalah lokasi dan pintu masuk ke timur.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.