Khairy tegur pengumuman batal PJD Link

Khairy tegur pengumuman batal PJD Link

Bekas menteri Khairy Jamaluddin berkata pengumuman yang besar perlukan butiran seperti pampasan dan alternatif bagi menangani masalah lalu lintas.

Khairy Jamaluddin (kiri) berkata Fahmi Fadzil tidak ada kepakaran untuk menjawab persoalan mengenai projek PJD Link dan pembatalannya.
PETALING JAYA:
Bekas Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menegur pengumuman mengenai pembatalan projek Lebuh Raya Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link).

Dalam episod terbaru audio siar Keluar Sekejap, Khairy berkata pengumuman oleh jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil, tidak mengandungi butiran mengenai pampasan kepada pemaju dan projek alternatif untuk menyelesaikan masalah lalu lintas.

“Apabila anda mengumumkan sesuatu yang besar seperti ini, anda perlu mempunyai butirannya. Anda mesti terlebih dahulu menjelaskan pampasan.

“Kedua, projek PJD Link dikatakan sebagai penyelesaian kepada kesesakan lalu lintas… kerajaan kini perlu menjelaskan apa langkah seterusnya untuk menangani masalah lalu lintas di tengah-tengah pembatalan itu.

“Jika anda membuat keputusan yang begitu besar, anda tidak boleh mengumumkannya begitu sahaja. Dia tidak ada kepakaran untuk menjawab soalan seperti ini,” katanya, membayangkan pengumuman itu sepatutnya oleh menteri yang bertanggungjawab bagi projek itu.

Pada 17 April lalu, Fahmi mengumumkan bahawa kerajaan tidak akan meneruskan projek itu selepas syarikat konsesi gagal memenuhi enam daripada 11 syarat yang ditetapkan Putrajaya.

Sehari kemudian, Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi berkata beliau tidak pasti sama ada kerajaan perlu membayar pampasan kepada pemaju susulan pembatalan itu.

Hari ini, kumpulan penduduk Petaling Jaya menggesa kerajaan mempertimbangkan semula keputusan membatalkan projek itu kerana ia penting untuk mengurangkan kesesakan akibat pertambahan penduduk.

Dalam pada itu, Khairy mengkritik Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming yang mengumumkan peruntukan pembangunan di Hulu Selangor dan Kuala Kubu Bharu sebanyak RM5.21 juta menjelang PRK pada 11 Mei ini.

“Nga betul-betul percaya bahawa rakyat Malaysia bodoh,” kata bekas menteri kesihatan itu.

Manakala Shahril Hamdan menyifatkan ia sebagai kempen pilihan raya sambil berkata beliau harap pengundi dapat melihatnya. Namun katanya langkah sedemikian sudah dijangka menjelang pilihan raya.

Khairy dan Shahril mengambil maklum perselisihan dalam kerajaan perpaduan menjelang PRK Kuala Kubu Baharu, susulan MCA dan MIC dilapor tidak terlibat dalam kempen melainkan kerajaan meletakkan calon daripada Barisan Nasional (BN).

“Nampak sangat MCA dan MIC terpinggir dan juga tidak mahu dilihat terhegeh-hegeh untuk diterima dalam rakan kerajaan madani.

“Ini trend berterusan di mana MIC dan MCA perlu buat keputusan satu hari nanti, sama ada masih mahu berada dalam BN apabila dilayan sebegini atau ingin buat sesuatu yang radikal,” kata Shahril.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.