Warga asing digilis treler selepas tikam pengawal di ladang kelapa sawit

Warga asing digilis treler selepas tikam pengawal di ladang kelapa sawit

Kaki kiri warga Indonesia berusia 30an yang digilis treler itu terpaksa dipotong akibat kecederaannya.

Suspek ditemukan oleh orang awam pada 5 pagi hari kejadian kemudian dihantar ke Hospital Kemaman untuk rawatan.
PETALING JAYA:
Seorang warga asing digilis treler ketika cuba melarikan diri selepas menikam seorang pengawal keselamatan di sebuah ladang di Kemaman, Terengganu, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu, suspek warga Indonesia berusia 30an, yang juga pekerja ladang itu, dipercayai cuba melarikan diri selepas menikam mangsa kerana enggan pulang ke rumah kongsinya.

Ketua Polis Kemaman Hanyan Ramlan berkata, sebelum kejadian, suspek didapati meracau dan bercakap sendirian sambil membawa parang di sekitar kawasan perumahan dan pejabat ladang di Bandar Seri Bandi itu.

Mangsa kemudian menyuruh suspek pulang ke rumahnya, namun dia melarikan diri ke arah ladang kelapa sawit, katanya.

“Dalam perjalanan ke rumah kongsi, suspek melarikan diri ke arah ladang kelapa sawit lalu dikejar mangsa sebelum ditikam oleh suspek dengan pisau.

“Suspek kemudian melarikan diri dan cuba menahan beberapa kenderaan namun gagal,” katanya, lapor Berita Harian.

Hanyan berkata, suspek kemudian terserempak dengan treler yang keluar dari Plaza Tol Seri Bandi menuju arah Air Jernih dan menahan kenderaan itu tetapi pemandunya tidak berhenti.

“Suspek cuba memanjat treler berkenaan tetapi gagal lalu jatuh sebelum kakinya digilis treler berkenaan,” katanya.

Menurut Hanyan, mangsa yang cedera pada pinggul kiri dirawat di Hospital Kemaman, manakala suspek yang ditemui orang awam pada 5 pagi hari sama turut dirawat di hospital sama.

“Suspek menjalani pembedahan dan kaki kirinya yang digilis treler terpaksa dipotong semalam,” katanya.

Pemandu treler yang terlibat sedang dikesan oleh polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 324/506 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.