Selesai segera isu air UMS bersama kerajaan Sabah, gesa Zambry

Selesai segera isu air UMS bersama kerajaan Sabah, gesa Zambry

Zambry Abdul Kadir berkata Anwar Ibrahim mengambil berat isu gangguan bekalan air berlarutan sejak 2021 dihadapi 22,000 penuntut UMS.

Zambry Abdul Kadir melakukan lawatan mengejut ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk melihat masalah air di institusi pengajian tinggi itu. (Gambar KPT)
PETALING JAYA:
Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir menggesa gerak kerja untuk mengatasi isu bekalan air di Universiti Malaysia Sabah (UMS) diselesaikan segera bersama kerajaan negeri serta Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).

Beliau berkata, Perdana Menteri Anwar Ibrahim sangat mengambil berat isu berkenaan yang turut disentuhnya dalam taklimat pembangunan Sabah sempena lawatan seharinya ke Negeri di Bawah Bayu itu, semalam.

Menurut Zambry, menerusi peruntukan RM3 juta diumum perdana menteri ditambah RM2 juta olehnya dalam lawatan Januari lalu, sembilan telaga tiub siap dibina di Kolej Kediaman Tun Pengiran Ahmad Raffae (KKTPAR) sekali gus meningkatkan bekalan air sebanyak 1 juta liter sehari (JLH).

Bagaimanapun, katanya jumlah itu tidak mencukupi kerana keperluan 22,000 penuntut selain kakitangan UMS adalah 5 JLH, menyebabkan masalah bekalan air terus berlarutan.

Zambry Abdul Kadir dan Shamsul Iskandar Mohd Akin mendengar penjelasan Naib Canselor UMS Kasim Mansor berhubung situasi bekalan air. (Gambar KPT)

“Masalah utama air di UMS ini ialah bekalan tidak mencukupi dan ini diuruskan JANS.

“Saya difahamkan Ketua Menteri Hajiji Noor dan kerajaan Sabah sedang bersungguh-sungguh memastikan saluran air mencukupi dapat dibekalkan ke UMS dan kawasan sekitarnya,” katanya dalam hantaran di Facebook berhubung lawatan mengejutnya ke UMS, semalam.

Lawatan mengejutnya itu turut disertai Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Pada 8 Jan lalu, hampir sebulan selepas dilantik menteri pendidikan tinggi, Zambry mendengar sendiri permasalahan daripada penuntut UMS berhubung masalah membelenggu sejak 2021 itu sebelum mengumumkan peruntukan RM2 juta.

Zambry berkata, krisis air di sekitar Sepanggar dan UMS juga belum dapat diselesaikan kerana bekalan tidak cukup dan tekanan rendah menyebabkan utiliti itu tidak dapat dipam serta disalurkan ke paip.

“Pada masa sama isu air tidak terhasil (NRW) sentiasa berlaku di paip di kawasan luar dan menyebabkan air tidak dapat sampai kepada pengguna di UMS,” katanya menjelaskan sebuah tangki khas untuk kegunaan universiti itu sedang dibina.

“Saya telah berbincang dan mengarahkan agar semua gerak kerja ini akan diselesaikan segera melalui apa jua kaedah secara bersama dengan Kerajaan Sabah dan JANS.”

Zambry menegaskan bekalan air perlu mencukupi serta dititikberatkan UMS dan JANS memandangkan pembangunan pesat sekitar universiti itu terutama pembinaan Hospital UMS.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.