Rafizi tak lagi garang kerana ada ‘tanggungjawab lebih’

Rafizi tak lagi garang kerana ada ‘tanggungjawab lebih’

Timbalan presiden PKR berkata beban itu tidak dipikulnya ketika masih dalam pembangkang.

Rafizi Ramli berkata keberkesanan sesebuah parti bukan diukur dengan ‘siapa menjerit lebih kuat’.
SHAH ALAM:
Rafizi Ramli menjelaskan beliau tidak garang seperti dalam pembangkang suatu masa dulu kerana mempunyai “tanggungjawab lebih” yang perlu dipikul ketika ini.

Timbalan presiden PKR berkata, beban itu tidak dipikulnya ketika masih bergelar pembangkang.

“Saya yang garang bila jadi kerajaan pun orang kata tak garang.

“Bukan tak garang pun…sebenarnya ada tanggungjawab lebih, iaitu masa pembangkang dulu tak pikul beban itu,” katanya pada sesi dialog sempena Konvensyen 25 Tahun PKR di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC).

Beliau berkata demikian ketika ditanya seorang ahli mengenai serangan dan hinaan terhadap presiden PKR yang juga Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Dalam pada itu, Rafizi berkata keberkesanan sesebuah parti bukan diukur dengan “siapa menjerit lebih kuat”.

Katanya, apabila PKR menjadi kerajaan, terdapat pertimbangan lain perlu diambil dalam menjamin keutuhan pentadbiran.

Rafizi turut akui pimpinan PKR terkesan dengan serangan dan hinaan terhadap Anwar.

Bagaimanapun, beliau percaya pimpinan parti masing-masing mengambil peranan untuk mempertahankan presiden mereka.

“Tumpuan dan tugas kita paling besar adalah untuk tadbir dan bina semula negara ini. Ada perkara yang kita perlu ‘tarik rambut daripada tepung’.

Nurul Izzah Anwar.

“Ada juga perkara yang kita perlu tangani supaya ia tidak pergi luar kawalan. Yang penting kekuatan organisasi parti terutama mengenai komunikasi itu perlu kita bina,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, berterima kasih kepada ahli yang membuat laporan polis berhubung fitnah dilemparkan terhadap kepimpinan parti.

Beliau turut mengingatkan ahli parti tidak terburu-buru mengikut perasaan dalam membalas fitnah dilakukan terhadap kepimpinan PKR.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.