Pop25, Kemas16 pastikan Anwar kekal PM, kata Rafizi

Pop25, Kemas16 pastikan Anwar kekal PM, kata Rafizi

Dua kerangka baharu dirangka PKR bagi pemerkasaan dan gerak kerja untuk menang PRU16.

 Rafizi Ramli
Rafizi Ramli berucap pada Konvensyen 25 Tahun PKR di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam.
SHAH ALAM:
Dua kerangka baharu dilancarkan PKR sempena ulang tahun ke-25 parti bagi memperkasa gerakan dan persediaan memastikan Anwar Ibrahim kekal perdana menteri selepas PRU16.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, berkata kerangka itu adalah Pemerkasaan Organisasi Parti 25 tahun (Pop25) dan Keadilan Menang Siri PRU16 (Kemas16).

Katanya, kedua-duanya berperanan bagi merangka kerja untuk kemenangan PKR pada PRU akan datang.

“Sasaran lengkap ini…persiapan mula dua tahun awal bagi pastikan Anwar kekal sebagai perdana menteri selepas PRU akan datang,” katanya ketika berucap pada Konvensyen 25 Tahun PKR di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC).

Rafizi menjelaskan, Pop25 merangka pemerkasaan organisasi parti dan Kemas16 bagi gerak kerja PKR menghadapi PRU16.

“Kedua-dua rangka kerja ini adalah untuk mengukuhkan kembali kekuatan akar umbi dari bawah hingga ke atas untuk cipta kekuatan baru supaya dapat berada di depan dalam persediaan hadapi PRU akan datang,” katanya.

Sementara itu, Rafizi berkata kekuatan PKR dalam menggunakan platform media alternatif dan elektronik serta demontrasi sebelum ini digunakan parti lawan untuk menyerang partinya.

Beliau berkata, perkara itu menjadi salah satu cabaran kepada PKR kini.

“PKR antara parti paling awal guna Facebook sebagai pentas ceramah seawal 2010. Demontrasi juga merupakan kemahiran parti.

“Sebab itu sekarang lihat kemahiran itu diciplak terutama orang berada dalam PKR guna itu untuk ‘tembak’ kita,” katanya.

Acara kemuncak Sambutan 25 Tahun PKR hari ini dijangka diakhiri penyampaian amanat Anwar yang juga presiden parti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.