
Fahmi berkata, bekas perdana menteri itu sepatutnya terlebih menunjukkan teladan ‘jemput balik’ menantunya, Adlan Berhan, yang didakwa “melarikan diri”, kembali ke Malaysia.
“Jemput balik menantu anda dulu, kemudian baharulah anda ada kedudukan untuk bercakap,” katanya ketika diminta mengulas kenyataan Muhyiddin terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkait isu “perintah tambahan”, awal hari ini.
“Jika beliau gagal berbuat demikian, justeru beliau tidak ada kedudukan moral untuk bercakap.”
Terdahulu, Muhyiddin berkata, maklum balas Anwar terhadap apa dipertikaikan “perintah tambahan” menunjukkan seolah-olah mahu “lepas tangan”.
Katanya, Anwar perlu memberikan penjelasan dan membetulkan keadaan kerana isu itu menunjukkan pemimpin kerajaan tidak mempunyai pendirian yang sama.
Beliau mengulas keengganan Anwar dilibatkan dengan pertikaian perintah tambahan itu kerana ia adalah bidang kuasa Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dan melibatkan Yang di-Pertuan Agong serta raja-raja Melayu.
Pada Februari, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, pihaknya bersedia membuat pendakwaan pecah amanah jenayah terhadap Adlan, namun masih belum dapat menjejaknya.
Tahun lalu, sumber SPRM berkata, agensi tersebut menyiasat penganugerahan kontrak lumayan kepada Adlan, melibatkan kemungkinan salah guna kuasa berhubung Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe).
Adlan bagaimanapun menafikan dakwaan itu menerusi peguamnya, bahawa beliau lari daripada undang-undang.
Najib memohon kebenaran Mahkamah Tinggi bagi memulakan prosiding semakan kehakiman memaksa kerajaan mendedahkan “perintah tambahan” yang didakwa dari Yang di-Pertuan Agong terdahulu, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, semasa mesyuarat lembaga pengampunan pada 29 Jan.
Perintah tambahan itu didakwa membenarkan Najib menghabiskan baki hukuman di bawah tahanan rumah, dalam kes SRC International yang disabitkan.
Sebelum ini, lembaga mengurangkan separuh hukuman 12 tahun penjara, kepada enam tahun, dan mengurangkan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Najib, 70, sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang dan dijangka bebas pada 23 Ogos 2028.