
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita & Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Siti Kamsiah Hassan, berkata bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini, pihaknya mengesan 808 aktiviti muat turun dan perkongsian kandungan sedemikian.
“Angka ini merupakan jumlah aktiviti muat turun yang dikenal pasti dan tidak merujuk kepada bilangan individu yang melakukan perbuatan berkenaan, kerana terdapat kemungkinan seorang individu melakukan lebih daripada sekali muat turun,” katanya kepada Bernama.
Kamsiah berkata, jumlah aktiviti itu, dikesan berkurangan setiap tahun dengan pada 2022 dan 2023, masing-masing sebanyak 41,096 dan 33,692 aktiviti, direkodkan.
Beliau berkata, ke arah mengekang kegiatan itu dari berleluasa, pihaknya kini dalam proses membangunkan bank data, antara lain bagi menyimpan maklumat mengenai kejadian yang berlaku dalam negara.
“Kami juga giat melaksanakan kempen kesedaran melalui ceramah dan pameran, bagi meningkatkan kesedaran orang ramai,” katanya.
Kamsiah berkata, bagi tempoh 2021 hingga tahun lalu, sejumlah 139 kertas siasatan telah dibuka bagi kes melibatkan bahan lucah membabitkan kanak-kanak, mengikut Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Beliau berkata, kes penderaan seksual, penderaan kanak-kanak, dan keganasan rumah tangga pula menunjukkan peningkatan setiap tahun, terutama melibatkan jenayah rogol, amang seksual fizikal, dan seks luar tabie.
“Bagi tempoh 2021 sehingga 2023 sebanyak 38,424 kes jenayah terhadap kanak-kanak dan wanita direkodkan di seluruh negara, dengan kes keganasan rumah tangga mencatatkan kes tertinggi dengan 19,487 kes,” katanya.
Beliau berkata, ini diikuti kes rogol sebanyak 4,277 kes, amang seksual fizikal (3,455), mencabul kehormatan (2,698), kanak-kanak hilang (2,257), dan penderaan kanak-kanak (1,878).