Belajar kegagalan gerakan reformasi seluruh dunia, Saifuddin ingatkan ahli PKR

Belajar kegagalan gerakan reformasi seluruh dunia, Saifuddin ingatkan ahli PKR

Setiausaha agung PKR berkata punca utama kegagalan itu adalah pemimpin lupa perjuangan asal bila berkuasa.

Setiausaha Agung Saifuddin Nasution berkata kejayaan agenda pembaharuan PKR diukur dengan kemampuan menunaikan janji menerusi dasar kerajaan yang memberi manfaat kepada rakyat.
SHAH ALAM:
Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail menggesa ahli parti belajar daripada kegagalan beberapa pergerakan reformasi di seluruh dunia apabila pemimpinnya melupakan perjuangan asal selepas menjadi kerajaan.

Katanya, pemimpin terbabit melupakan inspirasi mereka ketika menjadi pembangkang, sebaliknya mengumpul kekayaan demi kepentingan peribadi.

“Jadi pembangkang penuh derita, tetapi jadi kerajaan dapat nikmat, waktu itu lupa asas perjuangan.

“Yang (pemimpin) hendak buat himpun kekayaan, itulah yang tidak bawa kejayaan kepada perjuangan reformasi,” katanya pada Konvensyen 25 Tahun PKR di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC).

Beliau berkata, pergerakan reformasi yang gagal itu juga merasakan tekanan untuk menguruskan jangkaan rakyat terhadap janji reformasi sebelum ini.

Saifuddin yang juga menteri dalam negeri berkata, kejayaan agenda reformasi diukur oleh kemampuan untuk menunaikan janji menerusi dasar kerajaan yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Kejayaan pembaharuan di mata rakyat diukur dengan selama mana kita berjaya terjemahkan dasar yang dapat rakyat nikmati dan bukannya berapa banyak menteri atau exco atau Ahli Parlimen yang kita ada,” katanya.

Katanya, kegagalan pergerakan reformasi adalah berpunca daripada ketidakcekapan pemimpin menunaikan janji pembaharuan ketika berada di tampuk kuasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.