8 pos imbangan tentera di Sabah, Sarawak dijangka siap tahun ini

8 pos imbangan tentera di Sabah, Sarawak dijangka siap tahun ini

Dua pos sedang dibina di Sabah dan enam di Sarawak, menurut Panglima Tentera Darat Jen Muhammad Hafizuddeain Jantan.

Tentera akan menggunakan pelbagai teknologi terkini, seperti dron dan sistem komunikasi satelit, dalam usaha mengawasi keselamatan negara, kata Jen Muhammad Hafizuddeain Jantan.
SANDAKAN:
Sebanyak lapan pos imbangan tentera yang sedang dibina di Sabah dan Sarawak untuk meningkatkan tahap kawalan di sempadan negara dijangka siap tahun ini.

Panglima Tentera Darat Jen Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, pembinaan itu membabitkan dua pos di Sabah dan enam di Sarawak.

“Ketika ini, bilangan pos imbangan sedia ada sebanyak 23 pos, iaitu sembilan di sempadan Sabah dan 14 di Sarawak,” katanya dalam kenyataan sempena lawatan ke Sabah hari ini.

“Pos-pos imbangan yang masih dalam pembinaan di Sabah ialah Pos Felda Selatan, Kalabakan dan Pos Tambulanan, Tawau.”

Beliau berkata, enam pos imbangan sedang dibina di Sarawak terdiri daripada Pos Kandaei 2, Lundu; Pos Meliki, Serian; Pos Tong Nibong, Serian; Pos Nanga San, Sri Aman; Pos Ensawang, Sri Aman; dan Pos Pa’dalih, Miri.

Katanya lagi, terdapat rancangan untuk membina pos sempadan baharu, iaitu Pos Ladang Brantian di Tawau, Sabah serta Pos Long Singut di Kapit, Sarawak.

Dalam pada itu, katanya, tentera darat juga akan menggunakan pelbagai teknologi terkini, seperti dron dan sistem komunikasi satelit, dalam usaha mengawasi keselamatan negara.

“Kertas Putih Pertahanan juga menyatakan Malaysia akan menggunakan teknologi moden seperti kecerdasan buatan, dron dan termasuk teknologi pengawasan terkini sebagai ‘force multiplier’ untuk melengkapi keupayaan aset serta sumber anggota.

“Selain itu, hasil pengawasan garis sempadan yang efektif sehingga semalam, Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat menerusi Operasi Awas atau Keris Parang dan Operasi Jagawakan di Sarawak, serta Operasi Balasah di Sabah, telah mencatatkan pelbagai kejayaan termasuk pengusiran dan rampasan barangan bernilai RM908,731.75,” katanya.

Sementara itu, Hafizuddeain ketika ditemui pemberita di Pulau Berhala di sini berkata, pihaknya sentiasa akur dengan sebarang pendirian kerajaan terhadap isu membabitkan Palestin. Malah, katanya, tentera darat bersedia jika diperlukan dalam operasi bantuan kemanusiaan seperti membangunkan hospital medan.

“Anggota kita sentiasa bersiap sedia untuk membantu, kerana sudah menjadi sekunder kita melakukan tugas sampingan dalam apa juga keadaan termasuk ketika bencana,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.