
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, pusat itu ditubuhkan berikutan kapasiti perkhidmatan kardiologi di Sabah yang terbatas, menyebabkan ramai terpaksa mendapatkan rawatan di Kuala Lumpur.
“Perkhidmatan kardiologi di Hospital Besar Kota Kinabalu (Hospital Queen Elizabeth 2) setakat ini ada klinik pakar, ada makmal kateterisasi invasif dan bukan invasif, ada dewan bedah kardiotorasik, ada tiga pakar dan 120 jururawat terlatih tetapi saya fikir ini tidak mencukupi untuk keperluan rakyat Sabah.
“Maka dengan ini, saya umumkan bertempat di Kompleks Hospital Besar Kota Kinabalu, kemudahan khas iaitu blok khas yang disebut sebagai Pusat Jantung Negara Sabah. Dengan ini, kita akan tambah segera tiga orang pakar, sokongan terlatih,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 Peringkat Kebangsaan yang dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah Juhar Mahiruddin hari ini.
Majlis yang dimeriahkan dengan kehadiran ribuan penduduk sejak 8 pagi itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi dan Fadillah Yusof, serta Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor.
Pada majlis itu, Anwar berkata kerajaan persekutuan juga bersetuju dengan cadangan kerajaan Sarawak untuk mewujudkan Pusat Kanser Negara Kuching.