
Pengarahnya, Roslan Hussin berkata segala panduan ditetapkan Kementerian Pendidikan telah dipatuhi sepenuhnya.
“Bagi pihak kita, semua prosedur telah dibuat sebelum sebarang aktiviti dilaksanakan termasuk memastikan semua peralatan dan keadaan cuaca diambil kira oleh pihak sekolah. Kita mematuhi sepenuhnya panduan ditetapkan Kementerian Pendidikan,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata demikian mengulas insiden seorang pelajar Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar di Gentam, Kuala Pilah dekat Seremban, yang merupakan pesakit jantung berlubang, meninggal dunia selepas rebah ketika menyertai aktiviti merentas desa.
Semalam, Timbalan Ketua Polis Kuala Pilah Syahrul Anuar Abdul Wahab, berkata dalam larian rentas desa sejauh tujuh kilometer, mangsa rebah ketika menghampiri garisan penamat.
Katanya, guru yang ada di lokasi dikatakan memberikan bantuan pernafasan tetapi remaja itu tiada tindak balas.
Dalam pada itu, pihak jabatan memohon pelajar menjelaskan status kesihatan masing-masing kepada pihak sekolah, sebelum menyertai sebarang program dalam dan luar bilik darjah terutama melibatkan aktiviti fizikal.
Katanya, ibu bapa dan penjaga juga digesa memaklumkan status kesihatan anak mereka bagi memastikan segala maklumat berkaitan diambil maklum pihak sekolah, sekali gus mengelakkan kejadian tidak diingini.