
Johari berkata pembangunan projek itu juga masih belum menyaksikan sebarang pembangunan walaupun 95% penduduk terlibat telah dipindahkan.
Beliau yang juga menteri perladangan dan komoditi berkata pihaknya sudah beberapa kali berbincang dengan pemaju berhubung perkara tersebut tetapi syarikat itu memberikan pelbagai alasan.
“Saya cadangkan jika tak boleh buat projek ini, ‘surrender’ tanah ini kepada kerajaan dan kita boleh cari pemaju lain atau agensi kerajaan yang lebih berwibawa,” katanya pada sidang media selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Perladangan dan Komoditi di Perkarangan Pintu Gerbang Kampung Bharu.
Johari berkata, projek tersebut perlu diteruskan segera bagi membela nasib penduduk yang sanggup mengorbankan kediaman mereka sebelum ini demi pembangunan itu.
Katanya, kerana terlalu lama projek itu tertangguh, kawasan Kampung Sungai baru kini berada dalam keadaan terbiar dan tidak terurus.
“Hari ini kita tengok Kampung Sungai Baru, masyarakat (penduduk) sudah pindah, bangunan kosong, sudah jadi macam pusat orang datang hisap dadah di dalamnya. Kalau kita tengok tikus pun ada,” katanya.
Pada 5 Nov lalu, Johari berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan projek pembangunan semula kawasan di Kampung Sungai Baru tidak ditangguhkan lagi.
Isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru membabitkan 67 unit rumah teres dan 14 blok pangsapuri dikenali sebagai Pangsapuri Sungai Baru dengan proses pengambilan tanah bermula sejak 2018.