Angkasa mahu runding jadi pengimport beras, bukan mahu ganggu ‘konsesi lain’

Angkasa mahu runding jadi pengimport beras, bukan mahu ganggu ‘konsesi lain’

Koperasi itu mahu import makanan ruji bagi kegunaan lebih 7 juta ahlinya sahaja.

Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) mahu mengambil segmen untuk ahli koperasi sahaja bagi pengimportan beras dari Thailand.
PETALING JAYA:
Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) mahu berunding dengan kerajaan menjadi pengimport beras khusus bagi segmen ahli koperasinya seramai 7.3 juta sahaja.

Presidennya, Abdul Fattah Abdullah berkata menjurus perkara itu terdapat rangkaian antarabangsa termasuk dari Gerakan Koperasi Thailand sedia membantu pihaknya.

Katanya, pihak koperasi tidak bercadang mengganggu “konsesi lain”.

“Perkara ini bukan senang kerana kita sudah ada konsesi (beras) yang diberikan kerajaan kepada kumpulan tertentu.

“Jadi, kita harap akan berunding dengan kerajaan (dan) ambil segmen untuk ahli koperasi sahaja, dan ini memerlukan perbincangan (dengan pihak berkaitan),” katanya menurut Harian Metro.

Ketika ini, Padiberas Nasional Berhad (Bernas) merupakan pengimport tunggal beras negara.

Fattah berkata, tawaran itu juga dilihat alternatif penyelesaian kepada kerajaan khususnya isu keterjaminan makanan.

“Kita ada projek rintis ternakan ayam dengan kerjasama koperasi di Pahang dengan kapasiti sebanyak 32,000 ekor.

“Projek Lembu Tenusu Haifers Park masih berjalan dengan kapasiti sebanyak 54 ekor lembu buat masa ini. Sejak bermulanya inisiatif ini, sebanyak 126,271.63 liter susu berjaya dihasilkan,” katanya.

Katanya, Angkasa juga sedang membangunkan projek ternakan lembu pedaging di Kedah dan Perlis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.