Aktiviti bina telaga tiub di Kelantan undang bahaya jika tak dikawal, kata pakar

Aktiviti bina telaga tiub di Kelantan undang bahaya jika tak dikawal, kata pakar

Pakar geologi berkata proses pengambilan air dari bawah tanah secara besar-besaran boleh menyebabkan pemendapan jika akuifer (lapisan batu tepu dengan air) berada dalam lapisan tanah.

telaga tiub
Dilaporkan 50% penduduk di Kelantan bergantung kepada telaga tiub sebagai alternatif untuk mendapat bekalan air. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pakar geologi mengingatkan kerja mengorek telaga tiub yang banyak dilakukan di Kelantan perlu dipantau pihak berkuasa untuk mengelakkan mendapan tanah teruk terutama bagi penggunaan industri.

Nor Shahidah Mohd Nazer berkata laporan mengatakan hampir 50% penduduk di negeri pantai timur itu bergantung kepada sumber air telaga itu menunjukkan penggunaannya amat meluas yang harus disusuli dengan langkah pemantauan.

Menurut pakar geologi kejuruteraan dan mekanik tanah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu, penggunaan domestik mungkin tidak mendatangkan risiko mendapan berdasarkan kitaran air namun sebaliknya boleh berlaku jika digunakan untuk industri.

“Proses abstraksi (pengambilan) air dari bawah tanah secara besar-besaran memang boleh menyebabkan pemendapan terutama jika akuifer (lapisan batu tepu dengan air) iaitu zon sumber, berada dalam lapisan tanah,” katanya kepada FMT mengulas kebimbangan ramai risiko mendapan tanah di Kelantan susulan kerja mengorek telaga tiub.

Nor Shahidah Mohd Nazer.

Telaga tiub antara alternatif penduduk di Kelantan untuk mendapat bekalan air, malah kerajaan negeri turut menggunakan 42 telaga yang disahkan Exco Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri Dr Izani Husin.

Izani turut tidak menolak risiko berlakunya mendapan tanah ekoran penggunaan telaga tiub berleluasa di negeri itu, namun menjelaskan perkara itu belum lagi berlaku.

Beliau mengulas kebimbangan disuarakan Angkatan Belia Islam Malaysia Kelantan terhadap fenomena penggalian telaga tiub yang dikhuatiri boleh mengundang risiko berlakunya mendapan tanah, selain meminta perkara itu dikawal.

Nor Shahidah berkata gesaan untuk mengawal dan memantau kerja pengorekan itu penting, selain memastikan kontraktor terbabit mempunyai ilmu geologi untuk mengetahui keadaan permukaan tanah.

“Pengetahuan ke atas kedalaman akuifer yang tepat akan mengelakkan masalah seperti air telaga kering.

“Ini juga untuk mengelakkan penduduk kampung ditipu kontraktor tidak bertanggungjawab yang hanya mengorek tanpa mengetahui maklumat penting diperlukan untuk mengelaskan sesuatu kawasan itu sama ada berpotensi atau tidak (ada sumber air),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.