
Anwar berkata sebaliknya syarat yang bakal terkandung dalam memorandum persefahaman (MoU) itu hanya melibatkan kestabilan kerajaan bagi menjamin ekonomi negara.
“Tiada syarat sokong perdana menteri seperti ditohmah pembangkang.
“Perbincangan supaya kerajaan stabil dan boleh tumpu pertumbuhan ekonomi dengan menjamin keamanan dan kestabilan, secara terperincinya mereka boleh bincang,” katanya ditemui pemberita selepas solat Jumaat di Masjid Bandar Teknologi Kajang.
Beliau berkata perbincangan berkaitan syarat dan terma untuk membolehkan pembangkang menerima peruntukan kerajaan diletakkan di bawah tanggungjawab Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof serta jawatankuasanya.
Berhubung perkara berasingan, Anwar berkata Putrajaya akan mempertimbangkan untuk membawa pulang rakyat Malaysia di Iran susulan ketegangan yang tercetus antara negara itu dengan Israel.
“Tadi (saya) adakan mesyuarat, petang ini akan bincang dengan Kementerian Luar, kalau keadaan mencemaskan bagi rakyat kita akan bawa keluar,” katanya.
Israel dilapor melancarkan serangan peluru berpandu ke bandar Isfahan, yang terletak di wilayah Iran.
Tindakan itu sebagai tindak balas serangan dron dilancarkan Iran susulan tindakan Israel menyerang kedutaan Iran di Syria.