Saya kritik Umno Selangor supaya bangkit, kata Tengku Zafrul

Saya kritik Umno Selangor supaya bangkit, kata Tengku Zafrul

Tengku Zafrul Aziz mahu Umno Selangor mencontohi semangat kerajaan perpaduan di peringkat pusat.

Tengku Zafrul Aziz berkata kritikan terhadap Umno Selangor bersifat konstruktif. (Gambar Bernama)
HULU SELANGOR:
Tengku Zafrul Aziz menjelaskan kritikannya terhadap Umno Selangor kerana ingin melihatnya bangkit dan terus relevan dalam meraih sokongan rakyat negeri itu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu berharap semangat kerjasama diterapkan antara parti dalam kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan turut dicontohi Umno Selangor.

Tengku Zafrul bagaimanapun tidak memperincikan gesaannya untuk Umno Selangor itu.

“Saya masih lagi setia dengan Umno. Yang saya kritik itu konstruktif sebab ingin lihat Umno terus relevan di Selangor dan terus bekerjasama sebab kita kerajaan perpaduan, jadi kena selari dengan persekutuan.

“(Umno) Selangor juga kena semangat kerajaan perpaduan yang kita buat di pusat kena juga buat di Selangor,” katanya yang juga menteri pelaburan, perdagangan dan industri selepas melancarkan tapak pembinaan kilang Multi-Code Electronics Industries (M) Berhad di Serendah.

Pada 6 April lalu, Tengku Zafrul yang meletak jawatan bendahari Umno Selangor sebelum itu mendakwa tiada usaha “gigih” memperbaiki parti di negeri itu selepas kalah teruk pada PRN Ogos lalu.

Beliau yang kekal sebagai ketua Umno Kota Raja mendakwa prestasi merosot apabila hanya menang dua daripada 12 kerusi ditandingi sepatutnya menjadi amaran untuk berubah namun sehingga kini tiada “post mortem” dilakukan.

Umno Selangor diketuai Megat Zulkarnain Omardin yang juga setiausaha politik kepada Presiden Umno Zahid Hamidi.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata beliau akan membantu kempen calon daripada kerajaan perpaduan pada PRK Kuala Kubu Baharu 11 Mei ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.