
Hassan Karim daripada PKR, Larry Sng (Parti Bangsa Malaysia) dan Syahredzan Johan (DAP) bersetuju dengan gesaan Ahli Parlimen Beluran Ronald Kiandee agar kerajaan menggubal undang-undang mentadbir perkara itu, bukan menyerahkannya kepada budi bicara perdana menteri.

Hassan, wakil Pasir Gudang, menyifatkan inisiatif itu sebagai satu “perkara mudah dicapai” yang tidak akan melibatkan banyak wang dan boleh dilaksanakan dengan mudah.
“Malah tak perlu libat urus dengan pihak berkepentingan mengenai perkara ini. Rang undang-undang (berhubung perkara itu) jelas dan mudah,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan Madani akan mendapat sokongan dan muhibah Ahli Parlimen pembangkang sekiranya Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyokong reformasi ini.
“Ini salah satu aspek reformasi Parlimen dan akan membebaskannya daripada kawalan atau pengaruh eksekutif, terutamanya apabila berkaitan dengan kewangan dan dana,” katanya kepada FMT sambil menambah, ia juga akan menawarkan kerajaan perpaduan naratif yang bagus ketika berdepan pilihan raya.

Sementara itu, Sng mengingatkan kerajaan perpaduan bahawa ia mungkin menyesal sekiranya terlepas peluang menjadikan usul itu sebagai undang-undang.
“Ahli Parlimen yang bagus tidak boleh dipaksa mengorbankan prinsip mereka untuk menyokong kerajaan semata-mata untuk membantu pengundi.
“Pada hujung hari, pihak yang paling terkesan dengan kekurangan dana ialah golongan miskin dan daif,” katanya.
Syahredzan turut menyokong gesaan Kiandee, namun berpendapat ia sepatutnya sudah dilakukan oleh kerajaan terdahulu, malah ketika naib presiden Bersatu itu masih bersama Umno.
“Namun, tidak apalah lewat (dilaksanakan), daripada langsung tidak (dilaksanakan). Saya gembira Kiandee akhirnya dapat lihat kewajaran reformasi (ini),” kata Ahli Parlimen Bangi itu.

Syahredzan berkata, hal peruntukan tidak boleh diserahkan kepada budi bicara mana-mana perdana menteri untuk mengelakkan ia dijadikan “senjata”.
Bagaimanapun, beliau menafikan Anwar lambat melaksanakan reformasi ini.
Syahredzan berkata, perkara itu telah menjadi pertikaian selama “puluhan tahun”, dan tidak adil untuk mengharapkan Anwar menyelesaikan perkara itu dengan hanya “mengayunkan tongkat sakti”.
“Perdana menteri (Anwar) adalah seorang reformis. Saya percaya, lambat laun reformasi yang signifikan, termasuk yang ini, akan dilaksanakan.
“Bagaimanapun, beliau dan kerajaan mesti diberi masa dan ruang untuk melakukannya dengan betul,” katanya.
Minggu lepas, Kiandee yang juga bekas timbalan speaker Dewan Rakyat berkata, kerajaan mesti mengiktiraf peranan semak dan imbang yang dimainkan oleh Ahli Parlimen pembangkang dengan memastikan mereka mendapat dana sama rata.