Misil Israel dilapor jatuh di Iran

Misil Israel dilapor jatuh di Iran

Agensi berita Iran melaporkan letupan di sebuah lapangan terbang di bandar Isafahan, tetapi puncanya tidak dapat serta-merta dipastikan.

Sepanjang hujung minggu lalu Iran melancarkan ratusan dron dan misil terhadap Israel. (Gambar Reuters/Ronen Zvulun)
WASHINGTON:
Misil dilancarkan Israel jatuh di sebuah tapak di Iran, lapor ABC News lewat Khamis, memetik seorang pegawai Amerika Syarikat, beberapa hari selepas Iran melancarkan serangan dron ke atas Israel sebagai tindak balas terhadap serangan di kedutaannya di Syria.

Menurut agensi berita Fars Iran, letupan kedengaran di sebuah lapangan terbang di bandar Isafahan di Iran tetapi puncanya tidak dapat serta-merta dipastikan. Beberapa tapak nuklear Iran terletak di wilayah Isfahan, termasuk Natanz, pusat program pengayaan uranium negara itu.

Beberapa penerbangan di ruang udara Iran turut dilencongkan, lapor CNN.

Sepanjang hujung minggu lalu Iran melancarkan ratusan dron dan misil susulan serangan udara disyaki oleh Israel di pekarangan kedutaannya di Syria.

Kebanyakan dron dan misil tersebut bagaimanapun ditembak jatuh sebelum sampai ke wilayah Israel.

Iran memberitahu Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis bahawa Israel “mesti dipaksa untuk menghentikan sebarang usaha ketenteraan selanjutnya yang bertentangan dengan kepentingan kita” susulan amaran setiausaha agung PBB bahawa Timur Tengah berada dalam “detik bahaya maksimum.”

Israel sebelum ini berkata, pihaknya akan bertindak balas terhadap serangan misil dan dron Iran pada 13 April.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.