
Syarikat penerbangan itu dalam kemas kini di media sosialnya hari ini berkata, perkembangan positif ini susulan pembatalan penerbangan yang perlu dilaksanakan akibat letusan Gunung Ruang di Indonesia.
“Sementara syarikat penerbangan dalam usaha memulihkan operasi biasa secepat mungkin, beberapa penerbangan Malaysia Airlines yang dijadualkan hari ini telah dibatalkan dengan mempertimbangkan keadaan cuaca dan keselamatan operasi,” katanya.
Menurutnya, pihaknya akan memberikan kemas kini menerusi akaun media sosialnya secara berkala, dan berkomunikasi terus dengan pelanggan yang terjejas sekiranya terdapat sebarang perubahan bagi penerbangan.
“Penumpang diminta mengemaskini butiran maklumat untuk dihubungi melalui My Booking di laman web Malaysia Airlines untuk menerima kemas kini yang tepat pada masanya dari semasa ke semasa melalui e-mel dan SMS,” katanya.
Semalam, Malaysia Airlines membatalkan 19 penerbangan antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan destinasi di Sabah dan Sarawak berikutan letusan gunung berapi itu, dengan 11 daripadanya adalah ke dan dari Sabah, manakala lapan penerbangan melibatkan Sarawak.
Bagaimanapun, syarikat penerbangan itu kemudiannya menawarkan pelanggan yang terjejas dengan perubahan sekali bagi jadual perjalanan mereka secara percuma atau memilih bayaran balik penuh tanpa mengira jenis tambang.
Malaysia Aviation Group (MAG) dalam kenyataan semalam berkata, pelanggan terjejas yang berhasrat menukar penerbangan atau membatalkan perjalanan boleh berbuat demikian melalui “My Booking” di laman sesawangnya.