
Syarikat penerbangan itu dalam kenyataan berkata, ia memulihkan penerbangan dari dan ke Sabah, Sarawak serta Labuan secara beransur-ansur sejak petang semalam.
Tetapi, sesetengah penerbangan dari dan ke Sabah masih dibatalkan akibat cuaca dan kebimbangan keselamatan operasi.
Berikut senarai penerbangan terjejas hari ini:
- Kuala Lumpur ke Tawau: MH2660
- Tawau ke Kuala Lumpur: MH2661
- Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu: MH2610, MH2646, MH2612
- Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur: MH2611, MH2621, MH2641
- Kuala Lumpur ke Sandakan: MH2710
- Sandakan ke Kuala Lumpur: MH2711
Malaysia Airlines berkata, penerbangan lain pada hari ini dikekalkan mengikut jadual, dengan perkembangan lanjut boleh didapati di laman webnya.
Syarikat penerbangan itu membatalkan 19 penerbangan semalam susulan letusan Gunung Ruang dan kemudian mengumumkan penumpang terjejas akibat pembatalan penerbangan akan ditawarkan pilihan perubahan jadual perjalanan sekali tanpa kos atau boleh mendapat bayaran balik penuh.
The Borneo Post melaporkan lebih 20,000 penumpang terkandas di lapangan terbang Kota Kinabalu, Labuan, Tawau dan Sandakan semalam.
Ratusan lagi penumpang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, dengan penumpang beratur panjang untuk menempah semula penerbangan di kaunter daftar masuk dan pejabat syarikat penerbangan.
Reuters melaporkan sekurang-kurangnya 800 penduduk di Sulawesi Utara dipindahkan selepas beberapa letusan Gunung Ruang yang terletak di Pulau Ruang, kira-kira 100km dari ibu kota wilayah Manado.