
PJD Link menerusi satu kenyataan berkata pihaknya sedang menunggu makluman rasmi daripada kerajaan dan akan mengadakan perbincangan secara berterusan bagi menangani sebarang salah tanggapan mengenai projek.
“Kami percaya bahawa ini kekal sebagai projek berdaya maju yang mana projek bernilai RM4.4 bilion dengan limpahan ekonomi sebesar yang akan memberi manfaat kepada ramai, dan diunjurkan menyediakan kira-kira 12,000 pekerjaan serta menjana RM31 bilion keluaran ekonomi.
“Kami akan terus bekerjasama dengan agensi kerajaan berkaitan, termasuk Persekutuan dan negeri untuk menjamin daya maju projek terhadap rakyat Selangor mahupun Lembah Klang,” katanya.
Tambahnya, “syarat duluan” yang mengambil masa lebih lama daripada jangkaan akibat kerumitan projek berkenaan mendorong kepada kegagalan memenuhi syarat-syarat ditetapkan Persekutuan.
PJD Link menambah, projek yang dimiliki Persekutuan melalui Kementerian Kerja Raya itu telah pun melalui penelitian terperinci oleh semua kementerian mahupun badan kawal selia berkaitan.
“Ia diakhiri dengan kelulusan daripada penilaian kesan alam sekitar (EIA), penilaian kesan trafik (TIA) dan laporan penilaian kesan sosial (SIA),” katanya.
Semalam, jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil mengumumkan keputusan kerajaan tidak meneruskan projek PJD Link selepas pemegang konsesinya gagal memenuhi enam daripada 11 syarat ditetapkan.
Mengikut perancangan, lebuh raya itu akan menghubungkan utara dan selatan Petaling Jaya melalui Petaling Jaya Utara, Bandar Utama, Taman Tun Dr Ismail, Taman Dato’ Harun, Taman Medan Baru, Taman Sri Manja, Bandar Kinrara dan Bukit Jalil Technology Park.
Matlamat projek itu ialah mengurangkan kesesakan lalu lintas bagi pertumbuhan trafik masa depan di Kuala Lumpur dan Lembah Klang.
Pada 24 Feb, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari meminta pemaju lebuh raya yang dicadangkan untuk merundingkan semula jajarannya dengan kerajaan persekutuan.
Beliau berkata, selepas PRN Ogos 2023, pentadbirannya menerima laporan penilaian impak sosial daripada PJD Link (M) Sdn Bhd yang mendedahkan penduduk Taman Medan dan Kinrara menyokong lebuh raya itu, tetapi penduduk di kawasan lain menolaknya.