Malaysia Airlines tawar penumpang terkandas penukaran atau bayaran balik tiket

Malaysia Airlines tawar penumpang terkandas penukaran atau bayaran balik tiket

Susulan penerbangan ke Sabah dan Sarawak dibatalkan akibat letusan Gunung Ruang, penumpang terjejas boleh membuat pertukaran tiket di laman sesawang Malaysia Airlines.

malaysia airlines
Malaysia Airlines membatalkan 19 penerbangan antara KLIA dan destinasi di Sabah dan Sarawak hari ini, 11 penerbangan melibatkan Sabah dan lapan lagi membabitkan Sarawak.
PETALING JAYA:
Malaysia Airlines Berhad (Malaysia Airlines) menawarkan penukaran tiket secara percuma atau bayaran balik penuh kepada penumpang yang terjejas akibat penerbangan dibatalkan susulan letusan Gunung Ruang di Indonesia.

“Untuk meminimumkan kesulitan penumpang akibat pembatalan penerbangan yang tidak dijangka, penumpang boleh membuat perubahan sekali sahaja pada jadual perjalanan mereka secara percuma, atau memilih tuntutan bayaran balik penuh,” katanya dalam satu kenyataan.

Malaysia Airlines berkata, penumpang yang ingin melakukan penukaran jadual penerbangan atau membatalkan perjalanan mereka boleh berbuat demikian melalui ‘My Booking’ di laman sesawang rasminya.

“Sebagai alternatif, pelanggan juga boleh menghubungi talian ‘Live Chat’ atau pusat hubungan global kami yang terdapat di laman sesawang.

“Penumpang diminta untuk mengemaskini butiran mereka melalui ‘My Booking’ untuk menerima kemaskini dari semasa ke semasa melalui e-mel dan SMS,” katanya.

Terdahulu, Malaysia Airlines membatalkan 19 penerbangan antara KLIA dan destinasi di Sabah dan Sarawak hari ini, 11 penerbangan melibatkan Sabah dan lapan lagi membabitkan Sarawak.

Batik Air pula mengumumkan pembatalan penerbangan untuk laluan Malaysia Timur yang membabitkan Kota Kinabalu, Kuching, Tawau dan Sibu.

AirAsia juga membatalkan penerbangan mereka ke Sabah dan Sarawak kerana letusan Gunung Ruang.

Menurut Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), letusan gunung berapi di Gunung Ruang Indonesia mengakibatkan pembentukan awan debu bergerak ke arah Wilayah Maklumat Penerbangan (FIR) Kota Kinabalu yang menimbulkan risiko kepada keselamatan pesawat di ruang udara itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.