
Mengulas pengumuman dibuat Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata mereka juga tidak mengetahui syarat terkandung dalam Memorandum Persefahaman (MoU) akan dirangka untuk rundingan seterusnya.
“Setuju nak mempertimbang, belum setuju lagi. Ada MoU, apa isinya pun kita tak tahu,” kata bekas perdana menteri itu kepada FMT.
Sementara itu, Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin berkata pihaknya akan meneliti terlebih dahulu syarat dalam draf MoU sebelum membuat sebarang keputusan.
“PN menyambut baik keputusan dibuat kerajaan bagi memberikan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Fadillah mengumumkan Putrajaya bersetuju mempertimbangkan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang, dengan satu draf Memorandum Persefahaman (MoU) akan dirangka untuk rundingan seterusnya.
Pada 19 Mac lalu, Fadillah mengadakan pertemuan dengan pemimpin PN yang disertai Hamzah bersama Ketua Whip PN, Takiyuddin Hassan dan Naib Presiden Bersatu, Ronald Kiandee bagi membincangkan isu peruntukan wakil rakyat.
FMT pada 6 Apr lalu melaporkan Hamzah meminta kerajaan mengemukakan cadangan rasmi berhubung peruntukan sama rata untuk Ahli Parlimen pembangkang iaitu kira-kira RM3.8 juta setahun.
Beliau berkata, pendekatan itu digunakan semasa kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob mengikat memorandum persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik dengan Pakatan Harapan pada September 2021.
Tahun lalu, PN tidak meneruskan rundingan peruntukan untuk Ahli Parlimen pembangkang selepas Takiyuddin mendakwa Fadillah meminta mereka menulis surat dengan menyatakan jaminan tertentu.
Takiyuddin bagaimanapun enggan mendedahkan jaminan diminta kerajaan itu.
Isu peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang menjadi antara alasan enam Ahli Parlimen Bersatu mengalihkan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Mereka terdiri daripada Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar); Suhaili Abdul Rahman (Labuan); Azizi Abu Naim (Gua Musang); Zahari Kechik (Jeli), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) dan Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).