
Beliau memberi peringatan itu ketika diminta mengulas tindakan sesetengah pihak yang mengaib dan mengganggu pelanggan yang sedang menunggu giliran membeli makanan secara pandu lalu di sebuah restoran makanan segera.
“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ingin menyeru semua pihak agar tidak mengambil tindakan ekstrem dan melampau sehingga memberikan keaiban kepada mana-mana pihak,” katanya kepada FMT.
Baru-baru ini tular video yang menunjukkan berlaku provokasi dan ugutan terhadap pelanggan McDonald’s di Sungai Isap, Kuantan yang dilakukan beberapa individu. Susulan kejadian itu polis menahan lima kerana disyaki mengugut pelangan berkenaan.
Terdapat juga netizen mempergunakan imej “anjing” untuk menggambarkan pelanggan di McDonald’s dan KFC di media sosial, selepas tular gambar restoran berkenaan penuh dengan pelanggan semasa Aidilfitri.
Na’im berkata kekejaman melampaui sifat kemanusiaan Israel terhadap rakyat Palestin tidak boleh diterima sama sekali namun apa jua tindakan yang diambil untuk menunjukkan solidariti perlulah dibuat atas asas ilmu dan akhlak.
“Semua pihak perlu sentiasa menjaga keharmonian serta perpaduan dalam bermasyarakat. Apa-apa tindakan yang boleh mengundang keresahan awam adalah perlu dielakkan sama sekali.
“Dalam hal ini juga, boleh rujuk kepada pihak berkuasa agama Islam negeri untuk mendapatkan penjelasan berlandaskan kefahaman Islam yang sebenar,” katanya.