Farhash bukan lagi pemegang saham utama HeiTech Padu

Farhash bukan lagi pemegang saham utama HeiTech Padu

Perubahan pegangan saham dalam syarikat induk Rosetta Partners Sdn Bhd menyebabkan "terhentinya anggap faedah beliau" dalam firma tersebut.

Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dilaporkan memperoleh anggap faedah dalam syarikat itu melalui Rosetta Partners pada bulan lalu.
PETALING JAYA:
Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak bukan lagi pemegang saham utama dalam firma perkhidmatan teknologi HeiTech Padu Bhd.

Dalam satu pengumuman di Bursa, HeiTech Padu menyatakan bahawa ini susulan perubahan dalam pegangan saham di Mfivesouthsea Sdn Bhd, syarikat induk Rosetta Partners Sdn Bhd, yang mengakibatkan “berhentinya anggap faedah beliau” dalam firma tersebut.

Farhash dilaporkan memperoleh anggap faedah dalam syarikat itu melalui Rosetta Partners pada bulan lalu.

Ahli perniagaan itu merupakan bekas setiausaha politik Anwar Ibrahim, sebelum beliau dilantik perdana menteri.

Pada 14 Mac, firma perkhidmatan teknologi itu berkata, Farhash memperoleh kepentingan tidak langsung 15.9% (16.1 juta saham), menjadikannya pemegang saham besar dalam HeiTech Padu.

Sebelum ini, Farhash menjelaskan saham dipegang dalam HeiTech Padu adalah menerusi Rosetta Partners Sdn Bhd, syarikat swasta yang dimiliki bersama oleh Sultan Kelantan Sultan Muhammad V.

Katanya, pemilikan juga adalah sebahagian strategi pelaburan bersama Sultan Muhammad V bagi membantu firma Bumiputera.

Farhash juga merupakan pengerusi dan pengarah beberapa syarikat, termasuk 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd dan Apex Equity Holdings Bhd.

Pada Isnin, HeiTech Padu mengumumkan firma berkenaan menandatangani surat anugerah daripada JPJ bagi kontrak tiga tahun bernilai RM190 juta, berkuat kuasa 1 Mei.

Bagaimanapun, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook menafikan spekulasi bahawa kontrak itu dianugerahkan susulan kepentingan Farhash dalam syarikat tersebut.

Perbendaharaan meluluskan kontrak pada syarikat itu pada 8 Feb, sebelum Farhash menjadi pemegang saham utama.

Menurut Loke, dalam mesyuarat Jemaah Menteri, Anwar menegaskan tiada kontrak lain kerajaan diberikan kepada HeiTech Padu selepas Farhash memperoleh saham syarikat itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.