
Tiga Ahli Parlimen itu adalah Ahli Parlimen Bukit Gantang Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).
“Belum dapat (surat pelucutan keahlian),” kata ketiga-tiga Ahli Parlimen Bersatu itu kepada FMT.
Tiga lagi Ahli Parlimen parti itu yang menyokong Anwar ialah Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).
Ketiga-tiga tidak memberi maklum balas kepada pertanyaan FMT berhubung sama ada mereka telah menerima surat pelucutan keahlian.
Sebelum ini Ketua Penerangan Bersatu, Razali Idris, berkata mereka tidak perlu menunggu surat pemecatan, sebaliknya keahlian masing-masing tergugur selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) meluluskan usul pindaan Perlembagaan parti itu.
Kata Razali, kelulusan pindaan perlembagaan parti yang dibuat pada Perhimpunan Agung Khas parti pada 2 Mac lalu sudah memadai.
Selain enam Ahli Parlimen itu, Adun Selat Klang, Abdul Rashid Asari dari Bersatu turut mengumumkan memberi sokongan kepada Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, pada bulan lalu.