Ramadan dah berakhir, tetapkan tarikh, Lim Sian See beritahu Rafizi

Ramadan dah berakhir, tetapkan tarikh, Lim Sian See beritahu Rafizi

Pempengaruh media sosial itu berharap Rafizi menunaikan janjinya untuk menjemput beliau dalam program audio siar menteri ekonomi itu.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli sebelum ini mendakwa pempengaruh media sosial Lim Sian See ada sedikit ‘entitlement’ kerana mahu muncul dalam audio siar berkenaan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pempengaruh media sosial Lim Sian See mengingatkan kembali Rafizi Ramli mengenai jemputan untuk muncul dalam program audio siar menteri ekonomi itu seperti yang dicadangkan beliau sendiri sebelum ini.

Lim berkata Rafizi dalam satu hantaran di X memberitahu untuk menunggu selepas Ramadan. Katanya, sambutan Hari Raya Aidilfitri sudah berakhir dan Rafizi sepatutnya sudah menetapkan tarikh.

“Saya bukannya meminta untuk muncul dalam audio siar itu pada minggu ini atau minggu hadapan, tetapi sekurang-kurangnya tetapkanlah tarikh,” kata Lim kepada FMT.

Pada 19 Feb lalu, Rafizi berkata beliau mahu menjemput Lim, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi dan bekas ketua penerangan Umno, Isham Jalil menjadi tetamu audio siar ‘Yang Bakar Menteri’ bagi mendengar idea membantu negara dari sudut ekonomi.

Rafizi juga berkata beliau mahu mendedahkan wajah sebenar watak yang mengendalikan kempen propaganda yang mempertahankan 1MDB selama ini.

Bagaimanapun, Rafizi berkata beliau akan mendapat maklum balas Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi yang juga presiden Umno terlebih dahulu sebelum menjemput mereka.

Lim kemudiannya segera menerima cabaran itu dan meminta sesi “one vs one” (eksklusif) dengan Rafizi.

Pada 5 Mac lalu, Rafizi meminta Lim menunggu selepas Ramadan selepas Lim berkata beliau masih menunggu wakil menteri itu menghubunginya dan mempersoalkan kelewatan menghantar jemputan tersebut.

Rafizi berkata beliau masih bercuti sakit hingga 1 Mac susulan menjalani pembedahan tulang belakang dua minggu sebelum itu dan banyak urusan yang perlu diselesaikan.

Beliau juga menuduh Lim ada sedikit ‘entitlement’ kerana mahu muncul dalam audio siar berkenaan.

Lim berkata beliau berharap Rafizi tidak menuduhnya ada ‘entitlement’ lagi selepas memberi “peringatan mesra” mengenai jemputan dalam audio siar berkenaan.

“Sebenarnya ia mengenai menunaikan janji. Sekiranya Rafizi tidak mahu saya di program itu, beritahu sahaja,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.